YANGON: Banjir teruk melanda bandar Tachileik di negeri Shan selepas air Sungai Mae Sai melepasi tanda bahaya dan melimpah ke bandar itu pada 10 September, lapor Xinhua, memetik akhbar harian milik kerajaan, The Mirror.

Banjir itu menjejaskan 3,838 orang di lapan kawasan bandar, memaksa operasi menyelamat dipercepatkan, menurut laporan itu.

Kem bantuan didirikan di stadium bola sepak dan biara untuk menyediakan tempat perlindungan kepada mangsa yang dipindahkan, tambahnya.

Operasi menyelamat yang dijalankan Jabatan Perkhidmatan Bomba Myanmar dan organisasi lain sedang dijalankan, mengagihkan makanan dan minuman kepada mereka yang memerlukan, katanya.

"Jambatan Persahabatan Thai-Myanmar 1 tenggelam sepenuhnya, yang merupakan situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini di bandar kami," kata seorang penduduk tempatan kepada Xinhua.

Hujan lebat juga telah menyebabkan gangguan pengangkutan yang besar, katanya.

Gangguan bekalan elektrik dan gangguan perkhidmatan Internet dan telefon merumitkan lagi keadaan, tambahnya.

Pengarah Jabatan Meteorologi dan Hidrologi, U Hla Tun berkata hujan lebat yang didorong oleh monsun kuat dan Taufan Yagi menjejaskan beberapa wilayah di Myanmar, termasuk Shan, Mandalay, Magway, Ayeyarwady, Chin, Kayin dan Rakhine.

-- BERNAMA