HANOI: Sekurang-kurangnya 324 orang dilaporkan maut atau hilang akibat tanah runtuh dan banjir kilat yang dicetuskan oleh Taufan Yagi hujung minggu lepas, setakat 5:30 petang pada Rabu, menurut Jabatan Pengurusan Tanggul dan Pencegahan serta Kawalan Bencana Alam.

Wilayah Lao Cai adalah antara kawasan yang paling teruk terjejas dengan 72 kematian dan 111 orang masih hilang, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Tanah runtuh yang teruk telah menghapuskan keseluruhan Kampung Lang Nu di Daerah Bao Yen, wilayah itu, mengakibatkan 30 kematian, 83 orang hilang dan 18 cedera, menurut pihak berkuasa tempatan.

Lebih 54,000 rumah di bandar dan wilayah utara juga ditenggelami air apabila paras air sungai di rantau tersebut meningkat ke tahap membimbangkan.

Terdahulu, Kementerian Pertahanan Negara mengerahkan helikopter tentera untuk menghantar bantuan bencana kepada penduduk di kawasan yang terjejas di wilayah Yen Bai dan Cao Bang.

Kenaikan paras air juga memaksa ibu kota Hanoi memindahkan isi rumah di kawasan berhampiran Sungai Merah, termasuk 380 di Daerah Hoan Kiem, 836 di Daerah Bac Tu Liem, 276 di Daerah Ba Dinh dan 129 di Daerah luar bandar Quoc Oai.

Sebanyak 126 sekolah di bandar itu juga terpaksa ditutup pada Rabu kerana hujan lebat yang berterusan.

Sebagai tanda solidariti kepada negara, pelbagai jabatan dan agensi negeri melancarkan kempen sokongan dalam kalangan kakitangan awam untuk menyampaikan bantuan kepada mereka yang terjejas akibat kesan buruk Taufan Yagi.

-- BERNAMA