"Kami masih mencari mayat seorang lagi pelombong," kata ketua pegawai lombong Abdul Ghani Baloch, yang berada di lokasi kejadian.
Lombong arang batu yang terletak kira-kira 40 kilometer dari Quetta, ibu negeri wilayah Balochistan, runtuh selepas letupan pada lewat Khamis, menyebabkan semua 12 pelombong tertimbus.
Pelombong yang terperangkap itu berada pada kedalaman kira-kira 5,000 kaki di bawah permukaan tanah, dan pasukan penyelamat mengambil masa lebih 50 jam untuk mengeluarkan mayat berkenaan.
Ghani berkata satu kes telah didaftarkan terhadap pemilik lombong, yang didakwa menghantar pekerja syif kedua masuk ke lombong tanpa melakukan pemeriksaan keselamatan wajib.
Keadaan kerja yang buruk di lombong arang batu di wilayah Balochistan, yang kaya dengan mineral, kerap mengakibatkan kemalangan maut, dengan banyak kejadian tidak dilaporkan.
Persekutuan Pekerja Lombong Pusat Pakistan menganggarkan kira-kira 150,000 orang bekerja dalam sektor perlombongan di negara itu, dengan lebih 100 kematian dilaporkan setiap tahun akibat kemalangan berkaitan perlombongan.
Balochistan, wilayah terbesar di Pakistan, turut menempatkan pelabuhan laut dalam yang dibina China sebagai sebahagian daripada Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) Beijing, dikenali sebagai Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC), yang bertujuan menghubungkan pasaran di Timur Tengah dan seterusnya.
-- BERNAMA