Ketua Pemeriksa Lombong Balochistan, Abdul Ghani Baloch memberitahu media, letupan itu berlaku ketika lebih 12 pekerja sedang menggali arang batu di kawasan Sanjidi, Quetta, ibu kota Balochistan.
Beliau berkata, mayat seorang pekerja lombong telah berjaya dikeluarkan, manakala usaha menyelamat masih diteruskan bagi menyelamatkan 11 pelombong lain yang telah terperangkap selama beberapa jam di dalam lombong itu.
Beberapa pasukan terdiri daripada jurutera perlombongan dan anggota penyelamat telah dikerahkan ke lokasi kejadian, dan kerja-kerja mengalihkan runtuhan sedang dijalankan untuk membuka laluan ke dalam lombong, katanya.
Menurut pasukan penyelamat, lombong itu runtuh sepenuhnya selepas letupan gas berkenaan, menutup semua laluan masuk dan menyukarkan usaha menyelamat.
Kejadian kemalangan di lombong adalah perkara biasa di Pakistan kerana standard kesihatan dan keselamatan jarang dilaksanakan, terutamanya akibat pemeriksaan lombong yang dilakukan sekali-sekala dan tidak konsisten, menurut laporan terkini Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pakistan. - BERNAMA