HANOI: Angka kematian akibat banjir besar yang sedang melanda Myanmar meningkat kepada hampir 270 orang, dengan 88 lagi masih hilang, menurut pihak berkuasa Myanmar.

Menurut Kerajaan Myanmar, hampir 270,000 hektar tanaman padi dan tanaman lain telah ditenggelami air, dan lebih 100,000 ternakan mati, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memberi amaran bahawa 630,000 orang di Myanmar mungkin memerlukan bantuan susulan Taufan Yagi.

Sebagai tindak balas terhadap kecemasan ini, Myanmar telah merayu bantuan antarabangsa. Pada 18 September, sebuah kapal Tentera Laut India tiba di Pelabuhan Yangon membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas.

Taufan Yagi yang melanda Asia Tenggara bulan ini telah menyebabkan kerosakan teruk di beberapa negara, termasuk Thailand, Laos, Vietnam dan Myanmar.

Angka rasmi menunjukkan hampir 600 kematian di seluruh rantau ini akibat banjir dan tanah runtuh.

-- BERNAMA