Hujan lebat dan banjir yang melanda wilayah pergunungan utara Vietnam sejak beberapa hari lepas, mengorbankan sembilan orang dan dua lagi hilang, lapor agensi berita China Xinhua.

Jawatankuasa Pemandu Pusat Pencegahan dan Bencana pada Selasa berkata, empat kematian dilaporkan di wilayah Thai Nguyen, masing-masing dua di wilayah Ha Giang dan Dien Bien manakala satu di Hoa Binh.

Mangsa yang hilang dilaporkan masing-masing satu di Ha Giang dan Cao Bang.

Hujan lebat dan banjir turut memusnahkan 80 buah rumah, tujuh jambatan dan longkang selain mengakibatkan tanah runtuh serta ratusan hektar sawah padi dan tanaman lain rosak, menyebabkan kerugian hampir AS$400,000.

Pejabat Perangkaan Umum melaporkan setakat pertengahan tahun ini, bencana alam di Vietnam mengorbankan 27 dan 30 yang lain cedera serta menyebabkan kehilangan harta bernilai lebih AS$19.2 juta.

-- BERNAMA