NEW DELHI: Pasukan penyelamat pada awal Ahad membawa keluar empat lagi mayat daripada serpihan bangunan runtuh di Bandar Lucknow, utara India, menjadikan angka kematian kepada lapan orang, menurut polis, lapor Xinhua.

Kira-kira 30 mangsa telah diselamatkan dan menjalani rawatan di hospital berbeza.

Bangunan tiga tingkat itu runtuh pada petang Sabtu di kawasan Transport Nagar di Lucknow, ibu kota Uttar Pradesh.

"Lapan orang telah diisytiharkan meninggal dunia dan hampir 30 yang lain dimasukkan ke hospital berbeza, dan sebahagian daripada mereka telah dibenarkan keluar," kata pegawai kanan polis Amit Verma kepada media.

"Operasi menyelamat masih dijalankan untuk memastikan tiada seorang pun yang terperangkap di bawahnya (runtuhan bangunan)," katanya lagi.

Verma berkata satu jawatankuasa akan dibentuk untuk menyiasat punca kejadian.

Laporan menyebut bangunan berusia 15 tahun itu digunakan untuk perniagaan borong farmaseutikal.

Bangunan itu runtuh berikutan hujan lebat yang menyebabkan banjir di kawasan sekitar.

Kemalangan maut adalah perkara biasa kerana kualiti pembinaan bangunan di India. Pakar pembinaan menyalahkan pentadbiran yang lemah dan rasuah kerana melanggar peraturan bangunan.

-- BERNAMA