Ringkasan AI
- Bangunan yang runtuh di Bukit Senjuang adalah projek pembinaan haram tanpa kebenaran PBT.
- MBMB telah menyita kawasan tersebut dan akan mengeluarkan kompaun maksimum RM50,000 kepada pemilik bangunan.
- Seorang pekerja maut dan dua pekerja binaan warga asing terselamat dalam kejadian runtuhan pada jam 6 petang.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, hasil semakan jabatan berkaitan mendapati syarikat swasta milik individu itu tidak membuat sebarang permohonan bagi projek pembinaan bangunan dipercayai tiga tingkat itu kepada PBT.
Menurutnya, disebabkan kesalahan itu MBMB telah mengambil tindakan drastik dengan menyita kawasan berkenaan bagi mengelakkan kerja-kerja pembinaan diteruskan.
"Selain itu, kita juga dalam proses untuk mengeluarkan kompaun terhadap pemilik bangunan terbabit sehinggakan berlaku kejadian kemalangan meragut nyawa.
"Individu itu boleh dikenakan kompaun maksimum RM50,000 di bawah Akta Jalan dan Perparitan, Seksyen 70 (1)," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan seorang maut, manakala dua pekerja binaan warga asing terselamat dalam runtuhan bangunan itu.
Dalam kejadian jam 6 petang, ketiga-tiga mangsa berusia di antara 20 hingga 40-an itu sedang bekerja membuka stagging konkrit sebelum kesemua mereka terperangkap di bawah runtuhan tersebut.
Sementara itu, penduduk di Flat Pangsapuri Banda Hilir 4, Siti Hawa Ibrahim, 45, berkata, dia yang berada dalam rumah terkejut apabila mendengar bunyi dentuman kuat seperti guruh selain dinding rumahnya turut bergegar.
Menurutnya, kejadian berlaku sekitar jam 6 petang ketika dia sedang tidur di rumah bersama anak perempuannya.
"Tiba-tiba jiran sebelah rumah kata, bangunan pembinaan dipercayai untuk membangunkan medan selera sebelah flat rumah kami telah runtuh.
"Lebih mengejutkan bila tahu ada mangsa yang merupakan pekerja terperangkap bawah bangunan," katanya yang mendiami rumah itu sejak lebih lima tahun lalu bersama keluarganya. -Sinar Harian