MELAKA: Seorang pekerja warga asing maut manakala dua lagi selamat dalam insiden bangunan runtuh di Jalan Bukit Senjuang di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata dalam insiden pada 6 petang itu, lelaki warga Bangladesh dikenali sebagai Jidan, 22, ditemukan maut dalam keadaan tersepit di celah runtuhan tiang konkrit.

"Mangsa ditemukan di celah runtuhan pada 9.55 malam namun hanya berjaya dikeluarkan dari runtuhan pada 12.16 tengah malam tadi.

"Mangsa yang selamat, Zubair Ahmed, 32, dan Abbas Ghulam, 49, kedua-duanya warga Pakistan, mengalami kecederaan di beberapa bahagian tubuh termasuk leher, bahu dan kepala.

"Mereka masing-masing dikeluarkan dari runtuhan pada 6.40 petang dan 8.45 malam tadi. Kedua-dua mangsa kini menerima rawatan di Hospital Melaka," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri R Saiful Iswandy R Hassan pula berkata pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu pada 6.18 petang.

Raja Saiful Iswandy semasa sidang media berkaitan operasi mencari dan menyelamat buruh warga asing yang tertimbus dalam runtuhan bangunan di Bukit Senjuang, semalam. — fotoBERNAMA

Seramai 81 pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Padang Temu dan Melaka Tengah termasuk Pasukan Khas Taktikal Operasi Menyelamat (35 orang) tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.

"Pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa dari runtuhan yang melibatkan struktur bangunan satu tingkat berukuran 18.3 meter x 24.4 meter persegi yang masih dalam pembinaan," katanya.

-- BERNAMA