MANILA: Pejabat Pertahanan Awam Filipina memaklumkan pada Isnin, proses pemindahan segera kira-kira 87,000 penduduk sedang dijalankan susulan letusan Gunung Berapi Kanlaon, lapor Xinhua.

Gunung berapi yang terletak di Filipina tengah itu meletus pada petang Isnin, memuntahkan "voluminous plume" yang menjulang setinggi 3,000 meter dari kawah, menurut Institut "Volcanologi" dan Seismologi Filipina (PHIVOLCS).

Institut itu telah menaikkan tahap amaran kepada tiga daripada skala lima, memberi amaran bahawa "letusan penceraian magma telah bermula dan mungkin berkembang menjadi letusan lebih besar."

Penduduk yang tinggal dalam radius enam kilometer dari puncak gunung berapi itu disarankan supaya berpindah segera, menurut institut itu, sambil menambah bahawa orang awam "perlu bersedia untuk pemindahan tambahan jika keadaan memerlukan."

Abu hitam daripada letusan itu menyelubungi beberapa perkampungan sekitar gunung berapi berkenaan, seperti yang ditunjukkan dalam rakaman televisyen.

Media tempatan melaporkan pihak berkuasa sedang bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan terburuk sekiranya tahap amaran dinaikkan ke tahap empat, yang akan memerlukan pemindahan lebih ramai penduduk.

Beberapa jam sebelum letusan besar itu, ahli "vulcanologi" merekodkan enam gempa bumi lahar serta pelepasan abu selama 16 minit.

Gunung Berapi Kanlaon kali terakhir meletus pada Jun tahun ini.

Gunung berapi itu, yang merentasi Wilayah Negros Oriental dan Negros Occidental di Pulau Negros, merupakan satu daripada gunung berapi paling aktif di Filipina. - BERNAMA-XINHUA