Pengarah Serantau WHO untuk Eropah, Hans Kluge berkata pada Selasa virus itu telah beredar di rantau ini dalam varian lebih awal, dikenali sebagai clade II, sejak wabak terdahulu pada 2022.
Menurut Kluge, kira-kira 100 kes varian ini berlaku setiap bulan di Eropah pada masa ini.
"Mpox bukanlah COVID yang baharu," kata Kluge dalam satu panggilan video dengan media di Geneva. "Kami tahu bagaimana mengawal mpox."
Beliau berkata, wabak berkenaan berjaya dikawal di Eropah dua tahun tahun lepas melalui kewaspadaan tinggi terhadap jangkitan baharu, vaksinasi, dan penglibatan langsung lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki.
Namun, beliau berkata, kehendak politik dan sumber masih lagi kurang untuk membasmi sepenuhnya mpox di Eropah.
Beliau juga berkata, sekarang adalah masa yang sesuai untuk berwaspada terhadap kes-kes baharu clade Ib yang dibawa dari Afrika serta untuk melawan clade II dengan berkesan.
Berikutan kewujudan wabak mpox semasa di Afrika dan varian Ib yang berpotensi lebih berbahaya, WHO mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam yang menjadi perhatian antarabangsa pada minggu lepas.
Menurut pakar, clade Ib kelihatan lebih mudah menular berbanding varian terdahulu dan juga lebih berkemungkinan menyebabkan jangkitan teruk.
Walau bagaimanapun, Kluge menekankan bahawa setakat ini hanya satu kes Ib yang dibawa ke Eropah - di Sweden. - BERNAMA