Rangkaian lapangan terbang yang diurus oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), termasuk Sabiha Gokcen Airport (SGIA) di Istanbul, mencatatkan sejumlah 10.1 juta penumpang pada Februari 2018, pertumbuhan sebanyak 7.1 peratus tahun ke tahun.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu menyebut, trafik antarabangsa mencatatkan peningkatan sebanyak 11.5 peratus tahun ke tahun, bersamaan 4.8 juta penumpang, manakala trafik domestik mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 3.3 peratus atau 5.2 juta penumpang.

"Bagi asas dua belas bulan lalu, keseluruhan rangkaian MAHB, termasuk SGIA, mencatatkan pertumbuhan 7.9 peratus tahun ke tahun dengan 129.3 juta penumpang, sementara pergerakan keseluruhan pesawat meningkat sebanyak 2.6 peratus tahun ke tahun," kata MAHB.

Menurut MAHB, pergerakan pesawat antarabangsa mencatatkan pertumbuhan 12 peratus tahun ke tahun manakala pergerakan domestik susut 2.9 peratus tahun ke tahun.

Sementara itu, untuk sektor tempatan, lapangan terbang di Malaysia mencatatkan 7.7 juta penumpang, pertumbuhan 4.7 peratus tahun ke tahun.

Sektor antarabangsa mencatatkan 4.1 juta penumpang, peningkatan 10.8 peratus, sementara sektor domestik mencatatkan 3.6 juta penumpang, susut 1.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Keseluruhan pertumbuhan trafik penumpang Malaysia adalah 4.7 peratus pada Februari 2018 terutamanya didorong oleh sektor antarabangsa.

Menurut MAHB, jumlah penumpang antarabangsa untuk Februari 2018 lebih tinggi berbanding Januari 2017 walaupun tahun lalu Tahun Baru Cina disambut pada bulan Januari.

Menurut syarikat itu, cuti Tahun Baru Cina dijangka meningkatkan trafik domestik, namun terdapat penyusutan dalam kapasiti tempat duduk yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan tempatan pada musim berkenaan.

"Ini sebahagiannya disebabkan oleh rasionalisasi berterusan dan beberapa syarikat penerbangan tempatan tidak lagi menggunakan khidmat pesawat yang ada," kata MAHB

- BERNAMA