Penerbitan surat tuntutan bernilai RM409 juta oleh AirAsia kepada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) adalah pilihan terakhir kumpulan itu setelah perbincangan dalaman diadakan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aireen Omar, pihaknya gagal mendapatkan penyelesaian tetap jangka panjang bagi masalah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) melalui mesyuarat mingguan antara pihaknya, MAHB, dan Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan bagi menyelesaikan masalah di klia2.

Aireen berkata Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali juga tidak berjumpa dengan pihak AirAsia sejak surat dikemukakan Jumaat lepas.

"Kami cuba menghubungi (Badlisham) namun gagal," katanya dalam temubual bersama Astro AWANI.

"Kami menanggung kerugian atas masalah ini dan pesawat kami terlewat dari jadual, malah tempoh patah balik pesawat juga semakin panjang sehingga lebih 25 minit.

"Kami menjalankan perniagaan dan MAHB mahu jumlah trafik meningkat, jadi bekerjasama dengan kami untuk menjadikan klia2 yang terbaik tanpa berkompromi dengan isu keselamatan.

"Lebih banyak masa kami terbuang, ia melibatkan penggunaan minyak pesawat. Ini perkara yang kami utamakan," kata Aireen.


Aireen berkata isu mendapan dan takungan sudah berlarutan lebih setahun tanpa penyelesaian konkrit.

Sementara itu mengulas tentang keengganan AirAsia berpindah ke Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Aireen berkata ia bukan lapangan terbang yang bersesuaian dengan penerbangan tambang rendah.

"Cukai lapangan terbang akan dinaikkan dari RM32 kepada RM65. Ini lebih dari 100 peratus kenaikan.

"Ini juga tidak membantu usaha kami membolehkan rakyat Sabah hhususnya untuk terbang pada tambang yang rendah," kata Aireen lagi.

Aireen berkata sejak AirAsia terbang ke Kota Kinabalu, syarikat telah meningkatkan jumlah penumpang dari Sabah sehingga 50 peratus.

Malah katanya Terminal 1 juga tidak mampu menampung kapasiti tambahan sekiranya jumlah trafik bertambah di bawah penerbangan AirAsia.

Astro AWANI dimaklumkan MAHB akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat susulan jadual padat Badlisham minggu ini.