KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi  besar dalam membangunkan lebih banyak perusahaan sosial tempatan.

Jelas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan juga menyedari potensi dan peranan penting keusahawanan sosial dalam memacu pertumbuhan sosioekonomi negara.

Justeru katanya sebuah dasar dan objektif nasional jangka panjang diwujudkan menerusi SEMy2030.

“Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030 atau SEMy2030 yang dibangunkan oleh KUSKOP (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi) menyediakan hala tuju nasional yang baharu kepada pembangunan keusahawanan sosial di Malaysia.

“SEMy2030 menggariskan lima objektif yang sejajar dengan aspirasi, strategi dan inisiatif yang ditetapkan di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12),” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030 (SESMy 2030) di sini hari ini.

SEMy2030 tingkat keupayaan dan kompetensi perusahaan sosial


Tambah beliau lagi, bagi memastikan pencapaian objektif dan sasaran dasarnya, SEMy2030 telah  membangunkan lima teras strategik, 20 strategi dan 45 inisiatif.

Ia termasuklah membangunkan kerangka kawal selia dan tadbir urus yang efektif untuk memastikan perusahaan sosial di Malaysia mempunyai tanggungjawab dan akauntabiliti selain membina kepercayaan rakyat dan sektor swasta.

Malah katanya ia merupakan asas untuk membangunkan sebuah ekosistem yang komprehensif dan kondusif dalam menyokong pertumbuhan keusahawanan sosial di Malaysia.

“SESMy 2030 turut menggariskan strategi bersasar untuk meningkatkan keupayaan dan kompetensi perusahaan sosial.

"Ini termasuklah penyediaan latihan adaptasi teknologi dan pendigitalan yang lebih berstruktur, peluasan akses kepada pembiayaan dan sokongan kewangan serta penyediaan fasilitasi untuk akses kepada pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya lagi.

Usaha bersepadu jelasnya akan diambil untuk memperkukuhkan pelaksanaan dasar dan penyelarasan serta pemantauan dan pengukuran impak program pembangunan keusahawanan sosial yang dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi.

Kerajaan melalui KUSKOP jelasnya akan melaksanakan semakan semula dan menambah baik kerangka pendaftaran dan akreditasi perusahaan sosial sedia ada supaya mendapatkan akses lebih luas terhadap bantuan dan peluang berkembang maju ke hadapan.