Matrix Concepts Holdings Bhd, pemaju hartanah terkemuka di Negeri Sembilan, telah menerima sambutan menggalakkan untuk tawaran awam permulaannya (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd, dengan lebihan langganan awam 11.3 kali.

Matrix Concepts dijadualkan disenarai di pasaran utama Bursa Malaysia pada 28 Mei ini.

Ia telah menerima sejumlah 12,043 permohonan untuk 123.2 juta saham dengan nilai RM270.9 juta untuk langganan awam sebanyak 10.0 juta saham baharu IPO itu.

Pengerusi Matrix Concepts, Datuk Mohamad Haslah bin Mohamad Amin berkata: Sambutan orang ramai terhadap IPO kami menunjukkan keyakinan komuniti pelabur di atas keupayaan kami merebut peluang pertumbuhan di Greater Klang Valley yang termasuklah Seremban sebagai bandar satelit.

"Kami percaya penyenaraian saham kami di Pasaran Utama Bursa Malaysia bukan sahaja akan membawa kami ke dimensi baharu dalam sejarah korporat kami iaitu memulakan perjalanan sebagai entiti tersenarai, tetapi turut membantu kami meraih lebih keyakinan daripada para pembeli hartanah," katanya dalam satu kenyataan.

Matrix Concepts juga merupakan pemaju Bandar Sri Sendayan, pembangunan bandar baharu mercu tanda di Seremban, Negeri Sembilan.

Sementara itu, IPO Matrix Concepts menyaksikan terbitan awam 62.5 juta saham biasa baharu dan tawaran untuk jualan 37.5 juta saham vendor, pada harga terbitan RM2.20 sesaham.

Daripada terbitan awam 62.5 juta saham biasa baharu, 10 juta akan diperuntukkan untuk cabutan awam; 8.8 juta untuk pengarah, pekerja dan perniagaan sekutu kumpulan yang layak; dan baki 43.7 juta saham untuk penempatan persendirian.

Daripada 37.5 juta saham vendor, 32.5 juta akan diperuntukkan untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sementara lima juta akan diketepikan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

IPO itu akan mengumpulkan perolehan berjumlah RM137.5 juta untuk kumpulan, dengan RM55 juta diperuntukkan untuk pembinaan infrastruktur dan kemudahan bersama di Bandar Sri Sendayan, RM55 juta lagi untuk modal kerja, diikuti oleh RM10 juta untuk pembinaan 1Sendayan Clubhouse.

Baki RM11 juta dan RM6.5 juta, masing-masing akan digunakan untuk pembayaran semula pinjaman bank dan perbelanjaan penyenaraian.

Hong Leong Investment Bank Bhd ialah penasihat utama, pengurus taja jamin, ejen penaja jamin bersama dan penempatan bersama untuk IPO sementara Kenanga Investment Bank Bhd ialah ejen penaja jamin bersama dan penempatan bersama.