KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan kadar inflasi keseluruhan dan inflasi teras tahun hadapan berada di tahap yang tinggi berikutan tekanan permintaan dan kos serta sebarang perubahan pada langkah-langkah dasar dalam negeri.

Menerusi satu kenyataan, bank pusat itu berkata kesan tambahan tekanan inflasi menjadi lebih tinggi sebahagiannya akan terus dibendung oleh kawalan harga yang sedia ada, subsidi dan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi.

"Imbangan risiko berhubung dengan prospek inflasi pada tahun 2023 cenderung ke arah inflasi menjadi lebih tinggi dan terus bergantung pada langkah-langkah dasar dalam negeri mengenai subsidi serta perkembangan harga komoditi global yang berpunca terutamanya daripada konflik ketenteraan yang berterusan di Ukraine dan gangguan berkaitan bekalan yang berlarutan," menurut BNM.

Melihat kepada kadar inflasi bagi baki tahun 2022, BNM memaklumkan inflasi keseluruhan dijangka sederhana, namun kekal tinggi.

"Kesan asas daripada diskaun bil elektrik yang menyumbang kepada inflasi yang lebih tinggi pada suku ketiga akan reda pada suku keempat tahun 2022.

"Secara keseluruhan, inflasi keseluruhan dijangka berpurata pada 3.3 peratus pada tahun 2022," katannya.

Pada masa sama, inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka terus tinggi bagi baki tahun 2022 apabila permintaan terus bertambah baik dalam keadaan kos yang tinggi.

Mengulas berkenaan perkembangan kadar pertukaran, nilai ringgit menurun sebanyak 4.9 peratus berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku ketiga tahun 2022, sejajar dengan mata wang serantau yang menurun nilai pada purata 5.5 peratus.

Hal ini menurut bank pusat itu mencerminkan dolar AS yang terus kukuh berikutan dasar monetari yang terus diperketat oleh Rizab Persekutuan AS dan aktiviti penghindaran risiko yang lebih tinggi oleh pelabur disebabkan oleh prospek pertumbuhan global yang sederhana.

"Namun begitu, pertumbuhan dalam negeri yang kukuh mengurangkan lagi tekanan luaran terhadap penurunan nilai ringgit.

"Pada masa hadapan, walaupun pasaran kewangan domestik mungkin mengalami risiko volatiliti yang lebih tinggi, limpahan kepada pengantaraan kewangan domestik dijangka dapat dibendung.

"Hal ini disokong oleh kedudukan luaran Malaysia yang kukuh dan permodalan sistem perbankan yang teguh," memetik kenyataan itu.

BNM katanya akan terus memantau perkembangan pasaran dengan rapi serta memastikan bahawa pelarasan kekal teratur untuk menyokong pengantaraan yang berkesan bagi ekonomi.