KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS pada pagi ini berikutan permintaan sederhana terhadap unit tempatan itu.

Pada 9 pagi, unit tempatan meningkat kepada 4.6855/6905 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.6890/6940 pada Khamis.

Ketua ekonomi dan kewangan sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mata wang tempatan itu berada dalam kedudukan terlebih jual dari segi teknikal, sekali gus membuka lebih banyak peluang dagangan.

"Bagaimanapun, masih belum pasti sama ada trend sebegitu dapat dikekalkan memandangkan pendirian cenderung menaikkan kadar oleh Rizab Persekutuan AS," katanya kepada Bernama.

Mengenai perkembangan lain, beliau berkata data Indeks Harga Pengguna Malaysia (IHP) dijangka diumumkan hari ini, dengan konsensus mengunjurkan kadar inflasi boleh dikekalkan pada 2.0 peratus pada Ogos selepas mereda kepada 2.0 peratus pada Julai.

"Sekiranya menjadi kenyataan, ia akan memperkukuh status quo dalam kadar dasar semalaman pada Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akhir tahun pada November," katanya.

Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.9924/9977 daripada 4.9947/5.000 pada sesi penutup dagangan pada Khamis, naik berbanding pound Britain kepada 5.7543/7604 daripada 5.7632/7694 semalam, susut berbanding yen Jepun kepada 3.1736/1772 daripada 3.1650/1686 sebelumnya.

Pada masa yang sama, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang negara-negara Asean lain.

Ia mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.9473/9686 daripada 12.9695/9880 pada Khamis dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 304.6/305.2 daripada 304.9/305.4 sebelumnya.

Ringgit meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.24/8.26 daripada 8.25/8.26 dan tidak berubah berbanding dolar Singapura kepada 3.4271/4310.

-- BERNAMA