KUALA LUMPUR: Pengeluar kereta nasional Proton Holdings Bhd menjual sebanyak 12,772 unit kenderaan pada bulan Oktober, menjadikan angka tahunan setakat ini kepada 129,604 unit bago 10 bulan pertama tahun 2023 untuk pasaran domestik dan eksport, naik 12.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Syarikat itu dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata jualan kenderaan pada Oktober melonjak 4.4 peratus daripada bulan sebelumnya, jumlah volum industri (TIV) dijangkakan melebihi 70,000 unit untuk kali ketiga bagi 2023.

"Pegangan pasaran keseluruhan Proton diunjurkan berada pada 20.1 peratus kerana volum angka tahunan setakat ini untuk keseluruhan industri automotif telah melebihi 645,000 unit dan berada di landasan betul untuk mencatat rekod tertinggi sama seperti dicatat pada 2022.

"Berbaki dua bulan dalam kalendar tahun 2023, empat model Proton terus menjadi peneraju jualan dalam segmen pasaran masing-masing," katanya.

Sebanyak 2,021 unit Proton X50 telah dijual pada bulan Oktober untuk meletakkannya sebagai peneraju pasaran dan secara kumulatif sejak dilancarkan pada 27 Oktober 2020, SUV segmen B paling popular di Malaysia itu terjual sebanyak 100,210 setakat ini.

Selain itu, Proton Persona merupakan sedan segmen B ketiga paling popular, sebanyak 2,041 unit telah dijual pada Oktober manakala jualan bagi Proton X90 kekal kukuh, model itu terus menerajui jualan segmen D, SUV pada bulan berkenaan dengan 479 unit telah terjual.

"Secara kumulatif, 3,914 unit telah dijual pada 2023 dan peningkatan dalam permintaan dijangka berlaku dalam beberapa bulan akan datang apabila tempahan mula diterima daripada pasaran eksport berikutan pelancaran tawaran hibrid ringan pertama Proton di luar negara.

Dalam pada itu, Proton Saga kekal sebagai model paling popular syarikat itu dan pada Oktober sebanyak 6,322 unit telah dijual, meningkatkan jualan angka tahunan setakat ini kepada 57,806 unit.

Model Proton Iriz pula meneruskan prestasi kukuhnya pada t2023 dengan 589 unit terjual untuk menjadikan jualan terkumpul sebanyak 6,633 unit.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd Roslan Abdullah berkata menjelang dua bulan terakhir 2023, syarikat itu optimis untuk melepasi sasarannya kerana ia bersedia untuk memperkenalkan lebih banyak model baharu untuk meletakkan pengeluar kereta itu untuk permulaan yang hebat pada 2024.

-- BERNAMA