KUALA LUMPUR: Pembuat kereta nasional, Proton Holdings Bhd (Proton) mencatatkan satu lagi pencapaian pada Julai dengan penjualan Proton X50 yang dipertingkatkan sebanyak 2,585 unit selepas dilancarkan pada 4 Jun.

Menurut Proton jualan model itu terus meningkat, dipacu permintaan pengguna yang semakin tinggi, ciri yang canggih dan sokongan rangkaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Roslan Abdullah berkata prestasi jualan kereta itu pada Julai adalah bukti kepada usaha keras dan dedikasi seluruh pasukan di Proton yang peka terhadap maklum balas pelanggan.

"Gabungan prestasi, keselamatan dan ketersambungan model ini menarik minat pelanggan kami dan ini memenuhi keperluan mereka," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata pada masa sama, Proton telah membuat penambahbaikan dalam pengeluaran tempatan manakala peningkatan yang mengutamakan pelanggan telah memastikan Proton X50 kekal di hadapan mengatasi pesaing.

Proton memaklumkan prestasi jualan kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen B itu yang kukuh telah memberi kesan kepada pelbagai demografik dan menarik perhatian pembeli lelaki dan wanita secara sama rata.

"Lebih daripada 60 peratus pelanggan berumur di antara 26 tahun dengan 50 tahun, menunjukkan daya tarikannya kepada kedua-dua profesional muda dan mereka yang berkeluarga," jelasnya.

-- BERNAMA