BESTARI JAYA: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) telah melancarkan Projek Bawang Rose Ehsan, sebuah inisiatif strategik yang menggabungkan teknologi moden Internet of Things (IoT) untuk meningkatkan produktiviti pertanian negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif PKPS, Datuk Muhamad Khairil Mohamad Razi, berkata projek melibatkan kawasan 25 ekar ini memulakan fasa pertamanya di tanah lapan ekar, dengan setiap ekar mampu menghasilkan empat tan bawang iaitu paling tinggi dicatatkan.

Menurutnya, projek ini dirancang dalam tiga fasa, di mana fasa pertama dan kedua masing-masing melibatkan lapan ekar, manakala fasa ketiga seluas sembilan ekar dengan kos perekar penanaman bawang ini berjumlah RM16,800.

“Kita dapat lihat hari ini tuaian kita melebihi daripada tempat-tempat lain yang pernah dituai sebelum ini iaitu sebanyak empat tan perekar atau boleh mencecah sembilan tan sehektar.

“Keseluruhan 25 ekar itu akan beroperasi sepenuhnya pada 1 Jan tahun depan dan dijangka boleh dituai dengan kapasiti maksimum pada Mac 2025.

“Pencapaian ini adalah hasil penggunanan teknologi IoT, sistem fertigasi dan penjarakan tanaman yang dioptimumkan melalui kajian di Agriculture Centre of Excellence (ACE) Selangor,” katanya pada Majlis Tuaian Fasa Pertama Projek Tanaman Bawang PKPS dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Selangor Fruit Valley di sini pada Jumaat.

Datuk Muhamad Khairil dan Izham Hashim bersama petugas lain menunjukkan hasial tuaian fasa pertama Projek Bawang Rose Ehsan. - Gambar PKPS

Data yang dikumpulkan melalui sistem IoT akan dianalisis secara berterusan dan disepadukan ke dalam aplikasi Smart Ehsan Onion, yang berfungsi untuk meningkatkan pengeluaran bawang berkualiti tinggi di samping mengurangkan pembaziran sumber.

"Kami menggunakan jenis bawang Bangalore Rose Onion yang merupakan antara varieti unik dan terbaik yang tahan serangan penyakit selain sesuai ditanam dalam keadaan suhu berbeza.

"Hasil kajian yang kini memasuki bulan keempat dijangka memberi input berharga kepada pengembangan bawang rose dan hasil yang lebih lumayan dalam skala komersial," katanya sambil menambah bawang jenis itu memerlukan tempoh kira-kira 135 hari sebelum dituai.

Bawang yang dituai ini akan dipasarkan melalui beberapa saluran di bawah kendalian PKPS, termasuk Pasar Raya Ehsan Mart, lokasi Jualan Ehsan Rahmah, Outlet Ehsan Segi Fresh, dan Pasar Borong Selangor.

Sementara itu, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim, berkata penanaman bawang ini akan diperluas ke kawasan-kawasan lain di Selangor melalui program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

"Pihak berkuasa tempatan juga sudah mengenal pasti terdapat 200 ekar lebih tanah di Selangor yang boleh kita manfaatkan untuk tanaman bawang ini.

“Langkah ini bagi memenuhi keperluan negara untuk bawang merah yang sangat tinggi iaitu sekitar 330 tan sebulan atau 1.2 kilo bagi setiap individu, jadi ini adalah usaha kecil yang boleh kita kembangkan,” ujarnya.

Projek Bawang Rose Ehsan mampu menghasilkan empat tan bagi setiap ekar iaitu paling tinggi pernah dicatatkan berbanding negeri lain. - Gambar PKPS

Berdasarkan data terbaharu, harga purata bawang kecil merah rose yang diimport dari India berada pada sekitar RM7.82 sekilogram dengan variasi harga bergantung kepada lokasi dan pembekal selain faktor kos import, kualiti produk dan permintaan pasaran juga mempengaruhi harga.

Oleh itu, dengan sokongan berterusan daripada KPKM dan agensi kerajaan negeri, PKPS yakin projek ini bukan sahaja dapat memenuhi permintaan tempatan tetapi juga membantu menstabilkan harga bawang rose di pasaran dan mengukuhkan agenda keselamatan makanan negara.