Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Datuk Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, program melibatkan 20 peserta itu membuka peluang untuk mereka menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM2,100 sebulan.
Pada fasa pertama penuaian, seramai 10 peserta diberi 2,000 polibeg untuk diusahakan di kebun bandar seluas 10 ekar yang dibahagikan kepada 20 plot, lengkap dengan sistem pengairan fertigasi.
“Inisiatif Kementerian Ekonomi ini perlu dipuji kerana program ini cukup menyeluruh. Ini termasuk dengan kita beri tunjuk ajar kepada mereka meliputi sokongan teknikal, cara mahu menuai, membaja, ilmu teknologi kebendaan (IOT), penggunaan dron untuk pembajaan dan pelbagai lagi kemahiran pertanian.
“Mereka juga akan dibayar elaun secara bulanan sebab dasar program ini untuk membasmi kemiskinan kerana itu ia dibuat dekat dengan penempatan masyarakat miskin bandar, kita mahu tingkatkan taraf hidup mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI di tapak projek yang merupakan
kendalian Majlis Bandaraya Petaling Jaya dengan kerjasama Kementerian Ekonomi, di sini, pada Isnin.
Khairil berkata, hasil sokongan kerajaan negeri Selangor, pihaknya telah menerima 60 ekar tanah untuk diusahakan pada tahun depan melibatkan beberapa Majlis Perbandaran.
Menepati objektif PKPS dan Kementerian Ekonomi
Sementara itu, Padnamanagan Subramaniam yang tinggal di Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang tidak menyangka program ini meningkatkan taraf hidupnya dalam usaha untuk keluar daripada kemiskinan bandar.
“Kita berterima kasih kepada PKPS, Kementerian Ekonomi dan Kerajaan Madani. Sebelum ini memang saya tiada ilmu bab pertanian, tanam pun cara kampung sahaja tapi bila ikuti program ini, baru faham kemampuan kebun bandar,” katanya.
Berkongsi pengalaman lebih 25 tahun bekerja di pejabat, Wan Norsaiza Wan Hasnan yang baru bersara tidak menyangka terjun ke bidang pertanian adalah satu pengalaman yang mengujakan.
“Bayangkan 25 tahun pegang pen dan guna komputer, tiba-tiba perlu ‘bermain’ dengan tanah, ini cabaran baru tapi ia mengajar saya banyak hal terutama nilai kesabaran dalam menantikan hasil tanaman terbaik,” ujarnya.
Seorang lagi peserta, Rosnah Bidin turut berkongsi perasaan sama dan berharap teknologi pertanian hari ini menarik minat golongan muda untuk turut serta.
“Saya mahu tunjuk kepasa anak muda, tidak makan gaji pun boleh berjaya yang penting ada usaha, hasil sudah terjamin. Jangan ingat pertanian bidang kedua walhal ia beri keuntungan lumayan, saya sudah mula merasainya,” katanya.