KUALA LUMPUR:
Kemiskinan adalah satu isu yang reluktif ukurannya, dinamik mengikut perubahan dunia - pendek kata, hampir mustahil untuk menghapuskannya sama sekali.

Sepanjang peradaban kemanusiaan, waima di negara kaya sekali pun, akan ada sahaja golongan miskin.

Namun ukuran jaya bagi sesebuah pentadbiran negara itu dilihat pada bagaimana mereka mengecilkan kelompok itu dengan menyediakan keperluan untuk membantu golongan rentan keluar dari belenggu kemiskinan.

Di Malaysia, Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi tahun 2022 mendapati isi rumah yang berpendapatan bawah RM2,589 sudah dianggap miskin, sementara isi rumah berpendapatan bawah RM1,198 dianggap miskin tegar.

Rentetan itu, baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan matlamat kerajaan untuk menoktah kemiskinan, menegaskan kesungguhan pentadbirannya menangani isu berzaman ini dengan lebih sistematik dan menyeluruh.

Program-program sedia ada ditambah baik, dan program-program baharu diperkenalkan melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah Kementerian Ekonomi, dengan tiga templat utama iaitu Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN), Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).

Jelas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, program-program ini bertujuan tidak hanya sebagai dahan berpaut, pelantar sokongan dan jambatan untuk rakyat miskin mengubah nasib hidup, tetapi juga melimpahkan manfaat kepada rakyat Malaysia seluruhnya.

“Setiap program yang diperkenalkan sebenarnya serampang dua mata. Seperti bantuan mesin layan diri (vending machine) di bawah INSAN, matlamat keduanya adalah menyediakan makanan yang lebih murah kepada rakyat terbanyak kerana segalanya disediakan kerajaan dan peserta hanya tanggung kos bahan mentah untuk hasilkan makanan untuk dijual dalam mesin tersebut.

“Begitu juga program INTAN, tidak sekadar memberikan peluang pekerjaan dan membimbing penduduk luar bandar mengusahakan pertanian tetapi juga untuk jangka panjangnya membantu menambah bekalan makanan negara.

“IKHSAN pula yang dibentuk untuk menarik warga tempatan bekerja dalam sektor perkhidmatan yang diklasifikasikan sebagai 3D (dangerous, difficult, dirty), ia langkah untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.”

Rafizi melihat ini sebagai peluang untuk menstrukturkan semula ekonomi negara dengan pengenalan program-program yang lebih bersepadu, cekap dan berimpak tinggi serta berpanjangan untuk manfaat golongan memerlukan di masa akan datang.

Sudah pasti kerisauannya dan keraguan ramai adalah keberkesanan dan ketersampaian setiap inisiatif yang diperkenalkan, namun ianya bukan kerja sekelip mata dan menuntut sedikit masa sebelum hasilnya dapat jelas terlihat.

Oleh hal demikian, kata Rafizi, ia dipantau secara rapat dan terus oleh setiap pegawai dan kakitangan kerajaan yang ditugaskan tanpa khidmat perunding supaya tidak berlaku ketirisan dan kelangsungan program dapat dipantau perjalanannya hingga jaya.

“Salah satu langkah pertama pentadbiran ini adalah membangunkan Pangkalan Data Bersepadu (PADU) yang menggabungkan lebih 200 pangkalan data kerajaan supaya kita mendapat maklumat yang lebih terperinci mengenai kedudukan sosioekonomi sesebuah keluarga.

“Dengan adanya PADU ini yang akan berfungsi mulai Januari 2024, maklumat akan dikemas kini secara berkala ke arah masa sebenar (real-time) dan pelaksanaan pemberian subsidi bersasar dapat dibuat dengan lebih tepat serta risiko ketirisan dapat dikurangkan,” ujarnya.

Ketika golongan kurang upaya akan terus diberi bantuan terus, kerajaan bermatlamat untuk memperkasakan setiap individu yang berdaya menerusi program-program di bawah IPR agar sumber pendapatan bagi setiap isi rumah itu dapat ditambah dan dipelbagaikan.

Untuk generasi muda, diperkenalkan ‘Academy In Industry’ di mana pelajar lepasan sekolah diberi pekerjaan dengan bayaran gaji minimum sambil mempelajari ilmu dan kemahiran diperlukan serta diberi sijil mengiktiraf perjalanan mereka sepanjang 18 bulan di bawah program itu.

Tidak hanya memberi peluang pekerjaan kepada anak muda khususnya dari golongan kurang bernasib baik, tetapi ia juga menyelesaikan beberapa masalah berangkai dalam sektor tenaga kerja.

“Jadi kerajaan ada pelbagai program yang sesuai bagi semua peringkat umur mengikut kriteria tertentu, membolehkan kita menjalankan usaha membasmi kemiskinan ini dengan lebih berkesan kerana capaian tu lebih besar,” katanya.

Andai segala yang dirancang dan dilaksanakan ini berjalan lancar, Rafizi yakin kemiskinan tegar sekurang-kurangnya dapat dinoktahkan dalam tempoh tiga tahun akan datang.
 
Menoktah Kemiskinan: IPR serampang dua mata struktur semula ekonomi negara