KUALA LUMPUR:Selepas menyaksikan beberapa siri pembelian oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) ke atas sahamnya sejak beberapa hari kebelakangan ini, perjalanan penyenaraian awam FGV Holdings Bhd nampaknya akan berakhir, demikian menurut seorang ahli ekonomi.

Pensyarah dan Pengurus Kanan Pengembangan Perniagaan Putra Business School, Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata ketika FGV disenaraikan pada tahun 2012 dengan harga tawaran awam permulaan (IPO) RM4.55, permodalan pasarannya hampir mencecah RM17 bilion.

"Ia merupakan langkah pengapungan kedua terbesar berdasarkan nilai pasaran di dunia, di belakang Facebook. Dan, pada masa ini permodalan pasarannya berjumlah RM4.74 bilion," kata beliau kepada Bernama.

Menurut beliau, pada bulan Oktober tahun lepas ketika Pengerusi Felda sekarang, Datuk Seri Idris Jusoh mengemukakan idea untuk menamatkan perjanjian pajakan tanah (LLA) dengan FGV serta mengambil alih kilang-kilang FGV, langkah itu dilihat sebagai usaha untuk menggembirakan peneroka Felda sehingga menjejaskan pemegang saham FGV.

Penamatan LLA itu berpotensi untuk menurunkan harga saham FGV yang melibatkan pemegang saham seperti Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (anak syarikat MOF Incorporated) yang merupakan institusi pelaburan berkaitan kerajaan dan Koperasi Permodalan Felda, sekali gus menyebabkannya kehilangan kelebihan daya saing dan kemampanan.

"Tambah memburukkan lagi keadaan ialah kos penamatan yang dianggarkan berjumlah RM5 bilion hingga RM6 bilion akan diperoleh daripada pembayar cukai kerana Felda tidak mempunyai jumlah sebanyak itu dan langkah berkenaan hanya dapat dilakukan dengan suntikan dana tambahan oleh kerajaan.

"Bahkan tidak mungkin terutama ketika Felda sendiri memiliki hutang sendiri, yang hampir mencecah RM10 bilion," katanya.

Bagaimanapun, ia boleh diterima akal dan menurut Ahmed Razman, menerusi penerbitan sukuk dengan jaminan kerajaan berjumlah RM9.9 bilion, Felda memutuskan untuk membayar hutang sendiri dan memanfaatkan baki wang untuk mengambil alih FGV, yang akan menyatukan kawalan dan operasi tanah dan kilang minyak di bawah satu badan yang digabungkan.

"Sebaik sahaja Felda berserta pihak yang berkepentingan sama secara kolektif memegang lebih daripada 50 peratus saham-saham FGV pada 8 Dis, 2020, tawaran pengambilalihan Felda ke atas FGV menjadi tanpa syarat, sekali gus menyaksikan berlakunya banyak pembelian saham selama beberapa hari kebelakangan ini.

"Selain daripada pemerolehan saham FGV bernilai RM605.8 juta daripada KWAP dan Urusharta Jamaah yang terdiri daripada pegangan 13.88 peratus, Felda setakat ini telah membelanjakan lebih daripada RM100 juta untuk membeli baki saham di pasaran terbuka," kata Ahmed Razman.

Khamis lepas, Felda membeli lebih 9.97 juta saham FGV Holdings Bhd daripada pasaran terbuka dengan nilai RM12.96 juta pada harga RM1.30 setiap satu.

Ini telah meningkatkan jumlah saham FGV yang diperoleh Felda setakat minggu ini kepada 75.97 juta saham.

Awal minggu ini, agensi itu membeli 66 juta saham melalui pasaran terbuka pada harga RM1.30 setiap satu dengan jumlah RM85.8 juta.

Minggu lepas pula, Felda mengumumkan bahawa ia membeli sejumlah 27.15 juta saham FGV daripada pasaran terbuka dengan harga RM1.29 setiap satu atau RM35.02 juta.

Ini berlaku setelah agensi itu mengeluarkan dokumen tawarannya pada Selasa minggu lalu (12 Jan) berkaitan dengan tawaran pengambilalihan mandatori tanpa syarat untuk semua baki saham FGV yang tidak dimilikinya, kecuali saham perbendaharaan.

Tawaran RM1.30 sesaham akan dibuka untuk penerimaan sehingga jam 5 petang 2 Februari, kecuali dilanjutkan atau disemak semula.

Pada 8 Dis, 2020, Felda, yang sudah memiliki 21.24 peratus kepentingan dalam FGV, meningkatkan kepentingannya dalam syarikat berkenaan menjadi 35.12 peratus dan bercadang untuk mengambil saham FGV secara persendirian pada harga RM1.30 per saham.

Tambahan 13.88 peratus saham dibeli daripada KWAP (6.1 peratus) dan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (7.78 peratus).

"Pada harga tawaran semasa RM1.30 sesaham, FGV kini bernilai sekitar RM4.75 bilion (berdasarkan modal saham terbitannya sekitar 3.65 bilion), kurang satu pertiga daripada sebelumnya.

"Masih belum pasti sama ada Felda akan dapat melakukan perubahan untuk kedua-dua entiti sebaik sahaja pengambilalihan selesai," kata Ahmed Razman.

-- BERNAMA