KUALA LUMPUR: Prestasi perdagangan Malaysia meneruskan aliran positif pada Februari 2024 apabila meningkat 3.3 peratus kepada RM211.79 bilion bagi tahun ke tahun, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Menerusi kenyataannya hari ini, kementerian itu berkata eksport berkurangan secara marginal sebanyak 0.8 peratus kepada RM111.33 bilion manakala import sebaliknya meningkat 8.4 peratus kepada RM100.46 bilion.

"Perdagangan mencatat pertumbuhan tahun ke tahun bagi dua bulan berturut-turut pada tahun ini dan merupakan nilai bulanan tertinggi dalam sejarah perdagangan Malaysia bagi Februari.

"Lebihan dagangan bernilai RM10.87 bilion dan merupakan lebihan ke-46 bulan berturut-turut sejak Mei 2020," katanya.

Menjelaskan selanjutnya, MITI berkata prestasi perdagangan negara turut mengekalkan aliran peningkatan untuk dua bulan pertama bagi 2024 dengan mencatat pertumbuhan 8.3 peratus kepada RM446.43 bilion berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

Eksport menokok 3.9 peratus kepada RM233.74 bilion yang disumbangkan oleh kenaikan tahun ke tahun eksport barangan perkilangan sebanyak 3.4 peratus kepada RM196.75 bilion, dipacu oleh peningkatan eksport bagi barangan besi dan keluli, jentera, kelengkapan dan peralatan serta keluaran petroleum.

Import juga menambah 13.6 peratus kepada RM212.69 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM21.04 bilion, kata kementerian.

Malah, berbanding Januari 2024, lebihan dagangan meningkat sebanyak 6.9 peratus bagi Februari 2024.

MITI juga menyifatkan peningkatan angka perdagangan bagi Januari dan Februari sebagai jelas memaparkan prospek pemulihan global bagi tahun ini.

"Pertumbuhan perdagangan yang berterusan dalam dua bulan pertama 2024 telah membuka jalan bagi pemulihan perdagangan Malaysia," katanya.

Perdagangan global dijangka pulih pada 2024

Dalam pada itu, MITI berkata Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengunjurkan perdagangan barangan pada 2024 mencatat pertumbuhan sebanyak 3.3 peratus manakala Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangkakan perdagangan global berkembang pada 3.3 peratus.

"IMF turut menyasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia meningkat sebanyak 3.1 peratus. Angka ini akan disumbang oleh prospek pertumbuhan lebih baik bagi dua pasaran ekonomi terbesar dunia, Amerika Syarikat (AS) dan China yang juga merupakan rakan dagang utama Malaysia.

"Tinjauan global lebih baik ini juga disokong oleh perbelanjaan swasta dan awam yang lebih kukuh serta peningkatan dalam penyertaan tenaga kerja, pemulihan rantaian bekalan serta harga bekalan tenaga dan komoditi yang lebih murah," katanya.

Pada masa sama, MITI dan agensinya, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), terus optimis dan sentiasa memberi perhatian terhadap risiko-risiko global selain bertindak proaktif mencari peluang eksport di pasaran-pasaran sedia ada dan baharu, sepertimana digariskan dalam Rangka Tindakan Perdagangan Nasional.

Berpandukan kepada Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, MITI juga menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi yang akan meningkatkan nilai eksport pembuatan dan perkhidmatan Malaysia di masa depan.

-- BERNAMA