Pengeluar Malaysia yang mengeksport ke Amerika Syarikat (AS) tidak akan terjejas dengan duti import sebanyak 30 peratus ke atas panel solar yang dikuatkuasakan oleh Presiden AS Donald Trump baru-baru ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata isu berkaitan hubungan ekonomi antara Malaysia dan AS ditangani di bawah Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan (TIFA).

"Malaysia merupakan pengeksport utama panel solar dan komponennya dengan nilai eksport sebanyak AS$4 bilion pada 2017.

"Selepas perbincangan dengan AS melalui platform TIFA, kami dimaklumkan syarikat Malaysia tidak akan terjejas teruk dengan duti sebanyak 30 peratus itu," katanya kepada pemberita pada pengumuman prestasi perdagangan Malaysia 2017 di sini pada Rabu.

Bulan lepas, dilaporkan tarif perlindungan yang diumumkan oleh Trump bagi kedua-dua jenis import akan bermula pada kadar yang tinggi pada tahun pertama, sebelum susut pada tahun-tahun berikutnya.

Bagi tahun pertama, tarif sebanyak 30 peratus akan dikenakan ke atas modul dan sel solar yang diimport, menurut laporan itu. -- Bernama