KUALA LUMPUR: Belanjawan 2024 dengan peruntukan berjumlah RM393.8 bilion yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dilihat memenuhi aspirasi rakyat keseluruhannya untuk pembangunan negeri dan negara.

Menyifatkan sebagai belanjawan untuk kesejahteraan rakyat, kebanyakan Menteri Besar memperincikan tindakan kerajaan negeri masing-masing bagi setiap peruntukan yang melibatkan inisiatif atau perancangan negeri mengikut perancangan belanjawan negara.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan penyambungan semula projek pembinaan lima stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di negeri itu mampu menambah baik keterhubungan perkhidmatan pengangkutan awam.

Beliau berkata pihaknya ketika ini sedang membuat kajian bagi menghubungkan perkhidmatan rel dari Klang hingga ke Kuala Selangor.

"Saya harap selepas setahun ini, kita dapat merancang dengan lebih baik atau nampak jajaran yang lebih 'lengkap' untuk menyempurnakan tekad kita iaitu satu daripadanya menyediakan jajaran dari utara Selangor sampai ke Klang," katanya selepas merasmikan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Selangor di sini hari ini.

Semalam, Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 berkata kerajaan bersetuju meneruskan semula cadangan pembinaan lima stesen LRT3 yang dibatalkan sebelum ini dengan kos RM4.7 bilion, melibatkan stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pula menyifatkan Belanjawan 2024 sebagai belanjawan yang digarap secara komprehensif dan holistik kerana mencakupi pelbagai sektor seperti ekonomi, pembangunan infrastruktur, pendidikan, kesihatan, keselamatan, keterjaminan makanan serta mengandungi pelbagai inisiatif untuk meringankan beban rakyat.

"Saya yakin belanjawan ini akan membawa manfaat besar kepada setiap lapisan masyarakat dan memberi dorongan kepada pertumbuhan ekonomi negara yang positif," katanya menerusi kenyataan.

Wan Rosdy juga berterima kasih kepada pelbagai peruntukan yang diberikan kepada Pahang termasuk RM47 juta untuk menambah baik fasiliti penumpang di terminal Lapangan Terbang Tioman dan memanjangkan landasan sedia ada kepada 1,300 meter.

Bagi Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, secara keseluruhan belanjawan kali ini satu langkah berani yang diambil kerajaan dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara lebih kukuh, mampan dan berdaya saing, walaupun dengan kekangan hutang negara yang mencecah RM1.5 trillion.

Beliau turut menghargai komitmen Perdana Menteri dalam menyalurkan peruntukan khusus untuk rakyat di negeri ini termasuk pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Jempol, menaik taraf jalan kampung dan desa di Jalan Kuala Lukut ke Chuah, Port Dickson.

Pembinaan Klinik Kesihatan di Kawasan Rantau; pembangunan tadika dan taska baharu di Felda Jelai 1, Tampin; projek tebatan banjir di Sungai Jelai, Kuala Pilah; dan projek pengindahan, keselamatan dan kebersihan Pantai Teluk Kemang, Port Dickson juga antara inisiatif yang tersenarai dalam Belanjawan 2024 untuk negeri itu.

Sementara itu, Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata beliau berpuas hati dengan belanjawan yang turut menyediakan RM1.63 bilion bagi membina dan menaik taraf jalan di kampung serta desa termasuk di Tambun Tulang selain RM20 juta bagi menyelenggara dan memulihara lokasi tarikan pelancongan seperti Tasik Timah Tasoh di Perlis.

"Kerajaan negeri tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan kerajaan pusat... dari dulu, kini dan selamanya," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Perlis 2023 yang disempurnakan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

-- BERNAMA