KUALA LUMPUR : Maxis telah mengadakan forum 'Maxis Business Spark Engage' untuk terus memacu perbualan yang mendalam mengenai transformasi digital khusus, sekali gus bagi memperkasakan perniagaan di Malaysia.

Ini seiring dengan perubahan landskap digital yang pantas abad ini.

Pada majlis yang diadakan baru-baru ini di Kuala Lumpur, Maxis mengetuai sesi panel yang menerokai topik "Formula Kemenangan untuk Membina Kelebihan dalam Ketidaktentuan".

"Ahli-ahli panel yang ditampilkan termasuk Ketua Segmen Korporat dan PKS Maxis, Kevin Lee; Ketua Pegawai Keselamatan Lapangan Asia Pasifik Palo Alto Security, Ian Lim; dan Naib Presiden Operasi Holiday Tours, Lawrence Annies.

"Mereka membincangkan komponen utama yang diperlukan untuk mencapai kelebihan berkaitan, termasuk mempercepatkan penggunaan teknologi, mengautomasi tugas manual, melindungi aset digital, dan faedah bekerjasama dengan penyedia penyelesaian IT yang bersesuaian," kata Maxis dalam kenyataan pada Rabu.

Perbincangan tumpuan tahun ini turut menampilkan tetamu khas yang merupakan pemenang Grand Prix sebanyak 13 kali, iaitu David Coulthard, yang berkongsi pandangannya serta pengarang F1 terkenal Lee McKenzie mengenai bagaimana teknologi telah mengubah dunia perlumbaan F1.

"Berhubung dengan persekitaran perniagaan yang sangat kompetitif, Coulthard menekankan kepentingan kepercayaan, kerja berpasukan dan semangat dalam menggunakan data masa nyata untuk memastikan ketepatan dan hasil yang optimum, serta amalan terbaik yang boleh digunakan untuk mana-mana perniagaan," tambah Maxis lagi.

Dalam pada itu, Maxis melihat transformasi digital adalah perjalanan yang berterusan.

Oleh yang demikian, pihaknya mengembangkan siri Maxis Business Spark menjadi platform penting yang memberi peluang kepada perniagaan daripada pelbagai saiz untuk menyelami isu-isu penting yang boleh ditangani secara kolektif, membincangkan penyelesaian serta mendapat manfaat daripada pengetahuan dan pengalaman yang mendalam.

Ini merupakan tahun keempat Maxis menganjurkan siri Maxis Business Spark, iaitu sebuah platform untuk membincangkan cabaran dan berkongsi pengetahuan mendalam dalam ekonomi digital.

Spark Engage 2023 menandakan lelaran terbaharu acara tersebut, yang terus menjadi peluang berharga bagi perniagaan untuk belajar daripada pakar industri, meluaskan rangkaian dan bekerjasama dengan rakan.

Forum eksklusif tersebut menarik pelbagai pemimpin perniagaan terkemuka yang terdiri daripada Ketua Pegawai IT, Pengarah, dan Ketua Jabatan IT yang mewakili PKS utama, syarikat besar dan organisasi kerajaan.