Syarikat-syarikat tersebut adalah daripada perkhidmatan profesional (kejuruteraan dan elektrik), pembinaan dan bahan binaan serta sektor barangan pengguna yang bergerak pantas.
Misi ke Ho Chi Minh City dari 4 hingga 6 Disember ini bertujuan meneroka peluang baharu, mengukuhkan hubungan perdagangan dengan rakan kongsi utama Vietnam, mempamerkan daya saing MTC Malaysia dalam rantaian bekalan global serta memberi peserta pandangan berharga dan aliran pasaran semasa di rantau ASEAN.
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz dalam satu kenyataan hari ini berkata, agensi itu komited untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju global dalam pelbagai industri melalui Program Pembangunan Syarikat Pertengahan.
Katanya, misi ini menandakan satu peringkat penting dalam mengukuhkan kerjasama di antara Malaysia dengan Vietnam manakala penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) adalah di antara MATRADE dengan Agensi Promosi Perdagangan Vietnam (VIETRADE).
"MoU ini akan mewujudkan peluang untuk perniagaan berkembang seterusnya mengukuhkan komuniti ekonomi ASEAN di pasaran global," katanya.
Sebagai satu daripada ekonomi yang berkembang pesat di ASEAN, kata Mohd Mustafa, Vietnam menawarkan peluang yang besar bagi syarikat Malaysia yang ingin mengembangkan kehadiran pasaran mereka.
Dalam pada itu, Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE di Ho Chi Minh City, Mohd Firdaus Mohammad menekankan kepentingan masa dalam misi ini, memandangkan permulaan Kepengerusian ASEAN Malaysia pada tahun depan.
"Misi ini menyediakan platform unik bagi syarikat yang mengambil bahagian untuk berhubung dengan pemegang kepentingan utama Vietnam, menyokong visi Malaysia untuk menjadi penyedia barangan dan perkhidmatan bertaraf dunia," katanya.
Beliau berkata Malaysia dan Vietnam berkongsi kerjasama ekonomi yang kukuh dan berkembang dan disokong oleh keanggotaan mereka dalam ASEAN serta komitmen bersama terhadap integrasi ekonomi serantau.
Dari Januari hingga Oktober 2024, jumlah perdagangan di antara Malaysia dengan Vietnam berjumlah RM70.70 bilion (US$15.35 bilion), menjadikan Vietnam sebagai rakan perdagangan ke-10 terbesar Malaysia.
Eksport utama ke Vietnam termasuk produk elektrik dan elektronik, produk petroleum, produk kimia dan bahan kimia, pengeluar logam dan jentera serta peralatan dan alat ganti.
Vietnam disenaraikan sebagai destinasi eksport kelapan terbesar Malaysia dengan eksport bernilai RM46.28 bilion (US$10.03 bilion) manakala ia juga berfungsi sebagai sumber import ke-14 terbesar bagi Malaysia, berjumlah RM24.42 bilion (US$5.31 bilion).
-- BERNAMA