KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengalu-alukan penggunaan aplikasi teknologi terutamanya kecerdasan buatan (AI) dalam urusan perniagaan.

Pengerusinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, penggunaan teknologi merupakan satu manifestasi dokongan terhadap agenda kerajaan bagi menuju penggunaan digitalisasi dalam kalangan syarikat-syarikat di Malaysia.

Sehubungan itu, beliau menyokong kerjasama antara Koperasi Profesional Putrajaya Bhd (KOPROJAYA) dan Smart Meal Group Holding Sdn Bhd dalam mengetengahkan perniagaan kiosk Panas Express, sebuah konsep kedai serbaneka tanpa pekerja berteraskan kecerdasan buatan (AI).

"Ia juga merupakan sebahagian daripada usaha MATRADE memperkukuhkan lagi agenda mengembangkan aplikasi teknologi dalam urusan perniagaan khususnya di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), yang diiktiraf sebagai pusat persidangan terbaik Asia 2023," katanya berucap di majlis perasmian Kiosk Panas Express, di sini, pada Rabu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Amran Abd Kadir.

Kiosk Panas Express merupakan kedai serbaneka tanpa pekerja yang diperkenalkan oleh Smart Meal, sebuah syarikat tempatan yang mengubah pengalaman membeli-belah di kedai serbaneka kepada konsep layan diri tanpa pekerja dan tunai serta beroperasi 24 jam sehari.

Setakat ini, sebanyak 50 buah premis Panas Express telah beroperasi di Malaysia di sekitar Kuala Lumpur dan Kampar, Perak sejak 2023.

Melalui kerjasama tersebut, KOPROJAYA meyasarkan untuk membuka 20 buah premis Panas Express di Malaysia menjelang 2025 bersama-sama dengan Smart Meal.

Reezal Merican menyifatkan kerjasama dua entiti tersebut bukan satu kerjasama yang "biasa-biasa", kerana ia melibatkan inisiatif dan kerjasama koperasi pegawai-pegawai kerajaan bersama pemain industri khususnya yang melibatkan penggunaan AI.

"Sudah pastinya keupayaan ini disokong dan didokong oleh agensi-agensi kerajaan seperti SKM serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang menjadi tulang belakang terhadap perkembangan koperasi di Malaysia," katanya. - BERNAMA