KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin mengarahkan Serba Dinamik Holdings Bhd membuat hebahan awam Kemas Kini Dapatan Berdasarkan Fakta (FFU) oleh Ernst & Young Consulting Sdn Bhd (E&Y Consulting) yang dilantik bagi melaksanakan kajian semula khas bebas (SIR) terhadap syarikat itu.

Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Wan Muhammad Amin Wan Yahya mengarahkan syarikat kejuruteraan minyak dan gas itu mendedahkan FFU dalam tempoh dua hari pasaran dari tarikh arahan berkenaan.

JC berkata mahkamah memiliki kuasa untuk membuat keputusan terhadap permohonan Bursa Malaysia Securities Bhd, yang menfailkan permohonan keatas Serba Dinamik (defendan), di bawah Seksyen 360 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

"Maklumat yang dipohon untuk diumumkan (dalam FFU) adalah 'material' dan tidak bergantung sama ada ia benar, palsu atau muktamad. Defendan berhak untuk tidak bersetuju dengan maklumat yang akan didedahkan.

"Bursa Malaysia berhak dan diberi kuasa di bawah Seksyen 11 CMSA untuk memberi arahan untuk menegakkan dan mengekalkan pasaran sekuriti yang adil dan teratur bagi menjaga kepentingan orang awam dan pelabur, di samping mengambil tindakan sewajarnya di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (MMLR), bagi tujuan memantau dan memastikan pematuhan kepada MMLR," katanya.

"Dalam keadaan itu, mahkamah membenarkan Lampiran 1 (permohonan Bursa Malaysia terhadap Serba Dinamik) untuk memaksa pendedahan FFU," katanya.

Semasa prosiding dalam talian hari ini, mahkamah turut menolak permohonan Serba Dinamik untuk menghapuskan sebahagian afidavit Bursa Malaysia yang berkaitan dengan FFU.

Perkara itu disahkan oleh peguam Chris Leong, yang menjadi pemerhati Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

November lepas Bursa memfailkan saman pemula untuk memaksa Serba Dinamik mendedahkan FFU SIR bertarikh 30 Sept 2021 yang dikendalikan oleh EY Consulting.

Tindakan undang-undang itu diambil berikutan kegagalan Serba Dinamik mematuhi arahan bursa saham pada 22 Okt lepas untuk mendedahkan FFU berkenaan.

-- BERNAMA