Pada majlis GreenRE Award 2024, M K Land diiktiraf atas usaha kelestarian menerusi Anugerah Best Residential Development (High Rise) untuk projek utama mereka di Damansara Damai, Residensi Suasana @ Damai.
Projek ini diiktiraf atas integrasi bijak gaya hidup moden dengan prinsip reka bentuk yang mampan.
Sementara itu, pada majlis Malaysia Excellence Business Awards (MEBA) 2024, M K Land turut diberi penghargaan dengan Anugerah Excellence in Property Development Sector, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan luar biasa kumpulan itu dalam membentuk komuniti menerusi projek pembangunan yang inovatif dan berkualiti tinggi di seluruh negara sepanjang 25 tahun yang lalu.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Kumpulan M K Land, Ahmad Soalahuddin Al-Thani Ahmad Termizi, kedua-dua anugerah yang diraih syarikat hartanah itu amat bermakna sekali.
"Anugerah ini mencerminkan komitmen teguh kami dalam menyumbang kepada pembangunan yang mengimbangi keperluan kehidupan moden dan penjagaan alam sekitar,” kata Ahmad Soalahuddin dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Residensi Suasana @ Damai, kata beliau, merupakan contoh pendekatan M K Land dalam mengintegrasikan amalan-amalan mampan menerusi projek-projek pembangunan.
“Pengiktirafan projek pembangunan di bawah Gold GreenRE for the Greener Building Provisional Certification adalah bukti dedikasi kami yang berterusan dalam menetapkan penanda aras kelestarian, khususnya dalam kecekapan tenaga dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.
“Pencapaian ini bukan sekadar kejayaan, tetapi juga menekankan kepentingan membangunkan kediaman yang mengutamakan kecekapan tenaga dan pemuliharaan sumber,” kata beliau.
Ahmad Soalahuddin turut berikrar, dua pencapaian yang diraih seiring dengan sambutan Jubli Perak M K Land pada tahun ini mengukuhkan lagi komitmen M K Land terhadap kelangsungan perniagaan secara mampan.
Tegas beliau, M K Lan d komited untuk membentuk komuniti yang bukan sahaja memenuhi keperluan pada hari ini tetapi juga melindungi sumber dan peluang untuk generasi akan datang.
“Pengiktirafan berganda ini memberi inspirasi kepada kami untuk terus memacu inovasi dan kelangsungan, sambil memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat dan alam sekitar di mana kami beroperasi,” tambah beliau
Pencapaian berkenaan turut mencerminkan pendekatan holistik M K Land dalam perniagaan, menggabungkan kecemerlangan dalam pembangunan hartanah dengan tumpuan yang utuh terhadap komitmen ESG.
Ketika Kumpulan M K Land terus maju, ia terus komited untuk berinovasi, berkembang, dan memberi kembali kepada komuniti, memastikan setiap projek meninggalkan legasi positif untuk generasi akan datang.
Pengiktirafan tersebut telah diterima di dua acara yang berprestij.
MEBA 2024 telah disempurnakan oleh Patron Diraja, Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah Al-Haj, manakala Anugerah GreenRE 2024 diserikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Ahmad Soalahuddin mewakili Kumpulan M K Land sebagai penerima anugerah.
Sementara Timbalan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan M K Land, Nazri Tumin, , menghadiri MEBA 2024 bersama pemain industri dari pelbagai sektor.