Khazanah Nasional Berhad menerbitkan sukuk didominasi dolar bernilai US$750 juta (RM3.15 bilion) untuk tempoh matang 5 tahun dan akan diterbitkan melalui syarikat tujuan khas Danga Capital Berhad.

Ia merupakan terbitan sukuk dolar pertama Khazanah dan terbitan ketiga Danga bagi terbitan sukuk matawang asing di bawah Program Sekuriti Islamik Pelbagai Matawang.

Harga sukuk ditetapkan pada kadar keuntungan 3.035 peratus susulan proses buku tempahan yang tinggi.

Ia menarik minat 1.5 kali saiz sebenar terutama dari institusi kewangan, syarikat pengurusan aset, badan berkanun dan syarikat insurans.

Hasil terbitan akan digunakan untuk membiayai nota jaminan Pernerbangan Malaysia Berhad bernilai US$1 bilion yang akan matang tahun ini.

Sukuk itu yang distruktur di bawah prinsip shariah Wakalah 1 akan menggunakan saham dan komoditi patuh shariah.

Ia bakal disenarai di Bursa Malaysia di bawah regim pengecualian, Labuan International Financial Exchange Inc (LFX), dan Singapore Exchange Securities Trading Limited.

CIMB, DBS Bank LTD dan Standard Chartered akan menjadi pengurus kepada terbitan tersebut sementara CIMB Islamic akan menjadi penasihat shariah tunggal bagi transaksi berkenaan.

Menurut Ketua Pegawai Kewangan Khazanah, Datuk Mohd Izani Ghani, terbitan itu mencerminkan kemampuan Khazanah memasuki pasaran permodalan hutang dan mencapai pulangan kompetitif dalam persekitaran tidak menentu.