KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia bagi pengeluaran pada Februari 2022 meningkat 9.7% didorong oleh harga komoditi utama yang lebih tinggi.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan dalam IHPR pengeluaran tempatan itu dipacu oleh indeks perlombongan yang meningkat 23.3% berbanding 34.3% yang dicatatkan pada Januari 2022.

“Ia turut dipacu oleh indeks pertanian, perhutanan dan perikanan yang mencatatkan peningkatan lebih tinggi pada 17.7% berbanding 12.5% pada Januari 2022.

“Ini didorong terutama oleh indeks bagi penanaman tanaman kekal (23.3%), perikanan (9.4%) dan pengeluaran ternakan (4.8%),” katanya dalam kenyataan hari ini.

IHPR pengeluaran tempatan digunakan untuk mengukur kos barangan di pintu kilang.

Pada masa sama, indeks pembuatan meningkat 7.9% daripada 7.0% yang direkodkan pada Januari 2022.

Indeks ini disokong oleh kenaikan dalam indeks subsektor pembuatan produk petroleum bertapis (20.3%), pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (18.6%) serta pembuatan kimia asas, baja dan sebatian nitrogen, plastik dan getah sintetik dalam bentuk primer (13.1%).

Sementara itu, indeks bekalan air serta bekalan elektrik dan gas masing-masing meningkat 1.4% dan 0.8%.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, Mohd. Uzir berkata, IHPR pengeluaran tempatan meningkat 2.0% pada Februari 2022 berbanding 1.3% yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Kenaikan ini disumbangkan oleh peningkatan 6.9% dalam indeks pertanian, perhutanan dan perikanan (Januari 2022: 4.5%), di mana ia dipacu oleh harga buah tandan segar kelapa sawit yang lebih tinggi.

"Harga minyak mentah dan gas asli terus meningkat pada Februari 2022, menyumbang kepada kenaikan 3.6% dalam indeks perlombongan," katanya.

Mengulas mengenai kesan perang antara Rusia dan Ukraine kepada harga komoditi utama dunia, menurut beliau, gangguan kepada rantaian bekalan global terutama bagi komoditi utama dunia dijangka  bertambah teruk berikutan tekanan yang berlaku antara Rusia dan Ukraine.

Katanya, harga bagi komoditi utama dan bahan mentah seperti minyak mentah, semikonduktor, baja dan gas asli dilihat akan terus meningkat memandangkan 2 negara ini merupakan antara pengeluar utama terbesar bagi bahan mentah.

“Akibatnya, harga bagi produk-produk akhir juga akan meningkat menyebabkan pengguna terutama mereka yang berada dalam kumpulan isi rumah berpendapatan rendah merasai tekanan,” katanya. - DagangNews.com