Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan, bilangan penduduk bekerja turut meningkat, manakala penganggur terus menurun berikutan perkembangan kedudukan ekonomi.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menerusi Statistik Tenaga Buruh Malaysia Bulan Jun dan Suku Tahun Kedua 2024 berkata, bilangan tenaga buruh terus meningkat pada bulan Jun 2024, dengan kenaikan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus kepada 17.17 juta orang berbanding Mei 2024 iaitu 17.15 juta orang.
Ini sekali gus mencatatkan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) yang lebih tinggi pada bulan tersebut iaitu pada 70.4 peratus.
Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata bilangan penduduk bekerja pada bulan Jun terus meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 16.61 juta orang.
"Walaupun kadar pengangguran pada bulan Jun 2024 kekal pada 3.3 peratus seperti pada bulan sebelumnya, bilangan penganggur pada bulan tersebut turun sebanyak 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 565,300 orang.
"Daripada jumlah penduduk bekerja pada bulan tersebut, 75.0 peratus adalah dalam kategori pekerja. Kategori ini mencatatkan kenaikan bulanan sebanyak 0.1 peratus kepada 12.46 juta orang (Mei 2024: 12.44 juta orang).
"Pada masa yang sama, kategori penduduk bekerja sendiri kekal pada trend positif, dengan peningkatan 0.3 peratus kepada 3.06 juta orang (Mei 2024: 3.05 juta orang)," katanya dalam kenyataan tersebut,
Daripada jumlah penganggur pada bulan tersebut, 79.9 peratus adalah merupakan penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan.
Mengulas prestasi keseluruhan bagi suku tahun kedua 2024, bilangan tenaga buruh mencatatkan trend positif, dengan peningkatan sebanyak 1.1 peratus kepada 17.15 juta orang (ST1 2024: 16.96 juta orang).
Oleh itu, KPTB meningkat sebanyak 0.3 mata peratus kepada 70.5 peratus berbanding suku pertama 2024 iaitu 70.2 peratus.