PUTRAJAYA: Kadar pengangguran Ogos 2024 turun kepada 3.2 peratus dengan mencatatkan 558,500 penganggur, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Kadar terbaharu ini menunjukkan penurunan 0.1 mata peratus selepas sembilan bulan berturut-turut, di mana Statistik Tenaga Buruh Malaysia yang dikeluarkan oleh DOSM merekodkan kadar pengangguran pada 3.3 peratus.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata pasaran tenaga kerja Malaysia pada Ogos terus berkembang dipacu pertumbuhan ekonomi memberangsangkan dengan peningkatan berterusan jumlah individu bekerja manakala bilangan penganggur terus turun.

"Dalam hal ini, bilangan tenaga buruh pada Ogos 2024 terus mengukuh, dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus merekodkan 17.22 juta orang (Julai 2024: 17.2 juta individu).

"Bilangan penduduk bekerja menunjukkan peningkatan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.66 juta orang pada Ogos 2024, meningkat dari 16.63 juta pada Julai 2024," katanya dalam kenyataan semalam.

Sebaliknya, beliau berkata bilangan penganggur berkurang kepada 558,500 dengan penurunan sebanyak 0.9 peratus (Julai 2024: 563,700).

Mohd Uzir berkata kadar pengangguran belia berusia 15 hingga 24 tahun menurun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 10.4 peratus dengan 303,000 belia yang menganggur (Julai 2024: 10.5 peratus; 304,500).

Begitu juga, kadar pengangguran untuk belia berusia 15 hingga 30 tahun juga turun 0.1 mata peratus kepada 6.4 peratus, merekodkan 428,500 penganggur belia berbanding bulan sebelumnya (Julai 2024: 6.5 peratus; 433,100 orang).

Mengenai situasi pekerjaan, beliau berkata kebanyakan individu yang bekerja didominasi oleh kategori pekerja, merangkumi 75 peratus.

"Pada Ogos 2024, kategori ini menunjukkan peningkatan 0.2 peratus merekodkan 12.5 juta orang berbanding 12.48 juta pada Julai 2024. Sementara itu, kategori pekerja sendiri kekal pada trend positif dan meningkat 0.3 peratus kepada 3.08 juta orang (Julai 2024: 3.07 juta)," katanya.

-- BERNAMA