Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata jumlah pekerja sektor itu pula meningkat 1.0 peratus kepada 2.37 juta, manakala gaji dan upah meningkat 1.3 peratus kepada RM49.3 bilion.
"Selanjutnya, nilai jualan bagi setiap pekerja mencatatkan RM388,904, merekodkan pertumbuhan2.7 peratus," katanya dalam laporan Perangkaan Pembuatan Bulanan bagi Jun 2024 yang diterbitkan hari ini.
Bagi suku kedua 2024, jualan bagi sektor pembuatan mencapai RM464.2 bilion, mencatatkanpeningkatan sebanyak 5.7 peratus (suku pertama 2024: 1.8 peratus), disumbangkan terutamanya oleh subsektor produk peralatan elektrik dan elektronik (7.3 peratus); dan makanan, minuman dan tembakau (8.2 peratus).
"Selain itu, bilangan pekerja serta gaji dan upah yang dibayar pada suku ini masing-masing meningkat sebanyak 1.0 peratus (suku pertama 2024: 0.5 peratus) dan 1.4 peratus (suku pertama 2024: 1.2 peratus)," katanya.
Mohd Uzir berkata jualan sektor pembuatan kekal stabil dengan peningkatan 5.9 peratus, berjumlah RM156.1 bilion pada Jun 2024, dipacu terutamanya oleh subsektor produk peralatan elektrik dan elektronik, yang meningkat sebanyak 7.1 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan 12.2 peratus pada Mei 2024.
"Pertumbuhan itu turut disokong oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau, dengan peningkatan sebanyak 8.6 peratus; dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka, meningkat sebanyak 11.1 peratus.
"Berasaskan bulan ke bulan, nilai jualan tumbuh 0.8 peratus dari RM154.9 bilion pada Mei 2024," katanya.
Beliau berkata nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport, yang menyumbang 73.1 peratus, terus berkembang pada kadar yang lebih pantas sebanyak 6.0 peratus pada Jun 2024 (Mei 2024: 4.6 peratus), manakala industri berorientasikan domestik meningkat sederhana 5.5 peratus (Mei 2024: 7.9 peratus) disebabkan penurunan 5.2 peratus dalam jualan kenderaan bermotor, treler dan semi treler.
"Terdapat seramai 2.37 juta orang pekerja dalam sektor pembuatan pada Jun 2024, menunjukkan peningkatan 1.0 peratus berbanding pertumbuhan 0.9 peratus pada Mei 2024," kata Mohd Uzir.
Begitu juga, gaji dan upah sektor pembuatan meningkat sebanyak 1.8 peratus, mencapai RM8.20 billion pada Jun 2024, katanya.
-- BERNAMA