KUALA LUMPUR: Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) mengekalkan kadar faedahnya iaitu antara 5.25 dan 5.5 peratus ketika ini, sekali gus menafikan langkah pemotongan kadar sedia ada.

Pengerusinya Jerome Powell memberi indikasi bahawa satu pemotongan mungkin akan berlaku tahun ini, selewat-lewatnya pada Disember.

Ia susulan tindakan Fed yang masih mahu memerhati tindak balas dan pergerakan kadar inflasi negara itu ke arah dua peratus yang ketika ini disifatkan mencapai 'kemajuan yang sederhana'.

"Bank pusat (Fed) masih belum mempunyai keyakinan untuk mengurangkan kadar, walaupun inflasi telah berkurangan daripada paras puncaknya.

"Kami tetap fokus sepenuhnya untuk mencapai matlamat dwi-mandat kami iaitu pekerjaan maksimum dan harga yang stabil untuk faedah rakyat Amerika.

"Ekonomi kita telah mencapai kemajuan yang besar ke arah kedua-dua matlamat sepanjang dua tahun yang lalu.

"Pasaran buruh telah mencapai keseimbangan yang lebih baik dengan peningkatan pekerjaan yang kukuh dan kadar pengangguran yang rendah.

"Inflasi telah mereda dengan ketara daripada puncak 7.0 peratus kepada 2.7 peratus, tetapi masih terlalu tinggi.

"Kami sangat komited untuk mengembalikan inflasi kepada matlamat 2.0 peratus untuk menyokong ekonomi kukuh yang memberi manfaat kepada semua orang," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) pada Rabu.

Powell pada masa sama berkata, beliau masih tidak jelas mengapa sentimen rakyat AS setiap hari begitu buruk terhadap ekonomi negara itu.

"Saya tak fikir sesiapa pun mempunyai jawapan yang pasti mengapa orang ramai tidak gembira dengan ekonomi pada ketika ini," katanya.

Beliau menegaskan, pertumbuhan ekonomi dan pasaran buruh adalah kukuh pada ketika ini.

Mengakui inflasi masih tinggi, namun beliau secara jelas menyatakan bahawa kenaikan harga barangan telah menurun dengan ketara.

Mengulas lanjut, Powell berkata tiada seorang pun dalam jawatankuasa itu mempunyai kenaikan kadar faedah dalam kes asas mereka.

Fed secara agresif menaikkan kadar pada 2022 dan 2023 sebagai tindak balas kepada lonjakan inflasi yang memuncak pada paras tertinggi 40 tahun, kira-kira dua tahun lalu.