KUALA LUMPUR: Malaysia semakin menjadi tarikan pelabur asing di Asia Tenggara susulan pertumbuhan yang semakin baik, kerajaan yang stabil, serta nilai ringgit yang meningkat.

Beberapa penganalisis antarabangsa berpandangan situasi tersebut berbeza dengan negara jiran yang bergelut dengan perubahan politik seperti di Thailand dan Indonesia.

Agensi berita Reuters melaporkan warga asing secara konsisten menyalurkan lebih banyak dana ke dalam pasaran hutang dan saham Malaysia pada tahun ini.

Setakat Julai, ketika masalah politik menular di Thailand dan Indonesia, warga asing menyuntik AS$1.75 bilion ke dalam pasaran hutang Malaysia, yang mana ia jumlah tertinggi dalam setahun.

Menurut Pengurus Portfolio Strategi T. Rowe Price, Leonard Kwan, ringgit telah menjadi tonggak prestasi yang baik, dengan mata wang yang paling berprestasi di Asia.

Ujarnya lagi, ringgit pada 2024 dijangka lebih baik apabila Rizab Persekutuan Amerika Syarikat dijangka akan mula mengurangkan kadar faedah, sekali gus meningkatkan daya tarikan bon Malaysia.

"Ia merupakan prestasi yang agak mengejutkan untuk mata wang ini (ringgit). Saya rasa kebanyakan pulangan daripada prestasi ini datang daripada mata wang, bukannya bon," katanya memetik laporan Reuters.

Pada 16 Ogos lalu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 5.9 peratus bagi tempoh suku tahun kedua 2024.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata pengembangan ekonomi disokong terutamanya oleh peningkatan perbelanjaan isi rumah, di tengah-tengah keadaan pasaran buruh yang positif dan sokongan dasar lebih besar.

Reuters menambah, data bank pusat melaporkan warga asing kini memiliki 20 peratus daripada bon tertunggak Malaysia.

Sementara, ringgit melepasi paras tertinggi dalam tempoh 18 bulan berbanding dolar pada Khamis.

Ia menjadikan keuntungan tahun ini melebihi lima peratus, jauh berbeza daripada awal tahun ini apabila ia berada dekat paras terendah dalam tempoh 26 tahun.

Pakar Strategi Kanan di State Street Global Markets, Ben Luk pula berkata ringgit mendapat manfaat daripada kekuatan matawang yen Jepun dalam beberapa minggu kebelakangan ini apabila pelabur mengurangkan perdagangan dan beralih kepada mata wang yang "kurang dimiliki dan dinilai rendah".

Bagi Pengurus Portfolio Ekuiti Asia, M&G Investments Vikas Pershad, sektor-sektor utama seperti pembinaan, tenaga, dan infrastruktur terus menawarkan peluang kepada pelabur .

"Potensi kepelbagaian ini adalah salah satu faktor utama yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik," katanya.