KUALA LUMPUR: Jumlah dagangan Malaysia pada November 2022 meningkat sebanyak 15.6 peratus tahun ke tahun kepada RM238.2 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Dalam Statistik Eksport Import Mengikut Negeri - November 2022, DoSM melaporkan eksport meningkat 15.6 peratus atau RM17.6 bilion kepada RM130.2 bilion tahun ke tahun pada bulan tersebut manakala import naik 15.6 peratus atau RM14.5 bilion tahun ke tahun kepada RM107.9 bilion.

Katanya pada November 2022, eksport lebih tinggi dicatatkan di kebanyakan negeri seperti Pulau Pinang (RM10.8 bilion), Sarawak (RM3.2 bilion), Johor (RM1.9 bilion), Kuala Lumpur (RM1.6 bilion) dan Selangor (RM629.2 juta).

Eksport Terengganu meningkat RM315.6 juta, diikuti Melaka (RM152.0 juta), Kelantan (RM119.3 juta), Negeri Sembilan (RM77.4 juta) dan Perlis (RM30.6 juta).

Bagaimanapun, menurut DoSM, eksport merosot di Sabah (-RM565.0 juta), Pahang (-RM379.7 juta), Perak (-RM180.2 juta), Labuan (-RM38.8 juta) dan Kedah (-RM13.8 juta).

Sementara itu, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan jumlah import didorong oleh import yang lebih tinggi oleh Pulau Pinang (RM4.6 bilion), Selangor (RM4.0 bilion), Johor (RM3.4 bilion), Melaka (RM1.6 bilion), Kuala Lumpur (RM640.7 juta) dan Sarawak (RM447.8 juta).

Import oleh Terengganu turut meningkat sebanyak RM162.1 juta, diikuti Perak (RM148.6 juta), Perlis (RM53.1 juta) dan Kelantan (RM33.1 juta).

Bagaimanapun, import merosot di Kedah (-RM368.5 juta), Negeri Sembilan (-RM211.5 juta), Pahang (-RM89.2 juta), Sabah (-RM25.3 juta) dan Labuan (-RM16.5 juta).

"Antara lima negeri pengeksport utama, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan sebanyak 31.8 peratus, diikuti Johor (19.0 peratus), Selangor (17.7 peratus), Sarawak (9.0 peratus) dan Kuala Lumpur (5.4 peratus).

"Bagi import, Selangor merupakan penyumbang utama dengan 26.5 peratus, diikuti Pulau Pinang (24.3 peratus), Johor (20.7 peratus), Kuala Lumpur (7.1 peratus) dan Kedah (5.8 peratus)," kata Mohd Uzir.

-- BERNAMA