KUALA LUMPUR: Jiwa SME, sebuah produk Astro AWANI untuk memperkasakan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS), meneruskan siri jelajah keduanya ke Johor Bahru.

Siri jelajah yang dikenali sebagai Jelajah Jiwa SME ini adalah sebuah acara yang menggabungkan sesi perkongsian daripada pakar-pakar industri, usahawan PMKS, dan bengkel-bengkel ilmu.

Di samping itu, Jelajah Jiwa SME turut menyajikan hiburan dan reruai yang menawarkan perkhidmatan kepada para usahawan dan orang ramai yang berkunjung.

Jelajah Jiwa SME kali ini akan berlangsung di Toppen Shopping Centre, Tebrau, Johor Bahru selama dua hari bermula 2 hingga 3 September 2023.

Antara pengisian yang bakal disajikan kepada para pengunjung kali ini ialah perkongsian kejayaan Eng’s Popcorn, Boss Ijan, dan MYK Deco Legacy.

Kisah-kisah kejayaan mereka bakal dikongsikan untuk tujuan memberi semangat kepada para usahawan dan orang ramai yang hadir.

Turut berlangsung sesi bengkel bersama Unifi Business, TikTok Shop, dan INSKEN.

Bengkel-bengkel ini diharap dapat memberikan ilmu dan manfaat kepada para usahawan PMKS untuk diterapkan dalam perniagaan agar mereka lebih berdaya saing.



Selain itu, pengunjung yang hadir turut disajikan dengan hiburan seperti nyanyian daripada busker tempatan iaitu Middle Groove dan persembahan tarian zapin oleh Seri Irwana Tari.

Pengunjung juga berpeluang menang hadiah menarik melalui cabutan bertuah.

Untuk info, siri jelajah pertama Jelajah Jiwa SME berlangsung di Sabah pada 22 dan 23 Julai di Imago Shopping Mall telah dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Ia telah berlangsung dengan meriah dengan disertai oleh PMKS tempatan seperti Backyard Kokol sebuah perusahaan pelancongan eko, Borneo Mart oleh Lan Solo sebuah perusahaan menjual produk makanan tempatan selain aktiviti zumba dari IKSnita sebuah NGO yang memperjuangkan usahawan wanita Sabah.

Siri Jelajah Jiwa SME oleh Astro AWANI ini mendapat kerjasama dari beberapa pihak antaranya Unifi Business selaku penaja utama, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebagai rakan strategik, dan Astro Radio sebagai rakan penyiar.

Bagi siri Jelajah Jiwa SME di Johor Bahru ini, Toppen Shopping Centre adalah rakan penyedia lokasi.

Selepas Johor Bahru, Jelajah Jiwa SME bakal meneruskan jelajahnya ke tiga lagi lokasi iaitu Kelantan pada 15 dan 16 September 2023, Pulau Pinang pada 21 dan 22 Oktober 2023, dan Kuala Lumpur pada 24 hingga 26 November 2023.

Untuk maklumat lanjut mengenai Jelajah Jiwa SME oleh Astro AWANI ini boleh layari, www.jiwasme.com.my.