Menurut Pengerusi Eksekutif Habib Jewels Sdn Bhd (Habib Group), Datuk Seri Meer Habib, kenaikan harga emas tidak menghalang pembeli Malaysia untuk terus membeli logam berharga itu.
Sehingga 17 Mac, harga emas dicatatkan pada RM426.71 segram, berdasarkan data oleh FXStreet.
"Apabila harga sesuatu produk meningkat, permintaan biasanya berkurangan. Bagaimanapun, dalam kes kami, keadaan adalah sebaliknya. Rakyat Malaysia - sama ada Melayu, Cina atau India - mempunyai amalan yang telah lama wujud dalam membeli emas.
"Mereka melihatnya sebagai pelaburan yang dipercayai dan apabila harga naik, keyakinan terhadap emas (sebenarnya) meningkat, membawa kepada lebih banyak pembelian," katanya kepada Bernama.
Mendepani kenaikan kos melalui inovasi dan kemampanan
Walaupun permintaan kekal kukuh, peruncit barang kemas sedang menyesuaikan diri dengan inovasi untuk memastikan harga mampu milik. Habib Group telah memperkenalkan teknik pembentukan elektro yang membolehkan penghasilan barang kemas bersaiz besar tetapi ringan, memberikan pelanggan ilusi barang kemas yang mewah tanpa harga yang tinggi.
"Kami juga menawarkan kepingan emas tulen 999 dan barangan yang lebih berat bagi mereka yang memilih emas sebagai pelaburan.
"Dalam pasaran e-dagang yang semakin berkembang, kami memberi tumpuan kepada barangan yang lebih ringan untuk memenuhi keperluan pembeli dalam talian," kata Meer.
Selain inovasi reka bentuk, katanya, kemampanan memainkan peranan penting dalam menguruskan kos.
Habib Group menjalankan program belian semula emas iaitu pelanggan boleh menukar barang kemas lama pada harga yang kompetitif.
"Syarikat sama ada melebur dan menapis semula emas untuk dijadikan barangan baharu atau menjual semula barang kemas terpakai di bawah jenama Chantique kami.
"Pendekatan ini mesra alam dan menawarkan alternatif yang lebih mampu milik bagi mereka yang ingin melabur dalam barang kemas," katanya.
Emas sebagai pelaburan selamat dalam ketidaktentuan ekonomi
Meer, yang telah menerajui jenama barang kemas terkemuka Malaysia sejak 1986 berkata, harga emas telah meningkat hampir dua kali ganda sejak pandemik COVID-19, mengukuhkan statusnya sebagai aset selamat.
Beliau berkata, emas telah mengekalkan nilainya sejak dahulu walaupun semasa ekonomi tidak stabil.
"Lebih 1,400 tahun lepas, satu dinar boleh membeli seekor kambing dan hari ini, nilainya masih sama. Bagaimanapun, syiling 20 sen dari dahulu telah kehilangan kuasa belinya. Emas merupakan lindung nilai terhadap inflasi dan mengekalkan nilainya dari semasa ke semasa," katanya.
Nilai emas yang berterusan ini turut disokong oleh ketegangan geopolitik yang meningkat dan strategi bank-bank pusat, yang terus mendorong permintaan.
"Negara seperti China dan Rusia membeli dan menyimpan emas manakala dana dagangan bursa yang disokong emas turut meningkatkan pelaburan global dalam logam berharga ini," katanya.
Walaupun sesetengah penganalisis mengunjurkan sedikit penurunan harga emas disebabkan perubahan dasar ekonomi, Meer percaya prospek jangka panjang kekal kukuh.
"Julat harga semasa adalah antara US$2,700 (US$1=RM4.43) dan US$3,000 setiap auns troy. Penurunan kecil sehingga 10 peratus boleh berlaku jika tarif global berkurangan tetapi secara keseluruhannya, emas kekal sebagai pelaburan jangka panjang yang kukuh," katanya.
Permintaan musim perayaan dan masa depan industri emas Malaysia
Pada Ramadan dan menjelang hari raya, jualan emas meningkat berikutan rakyat Malaysia membeli barang kemas untuk sambutan perayaan.
"Pada waktu ini, kami lebih sibuk daripada biasa. Walaupun harga tinggi, mereka yang telah melabur sebelum ini mula menikmati manfaatnya.
"Permintaan bukan sahaja tertumpu kepada barang kemas. Perkhidmatan pajak gadai Islam berasaskan emas seperti Ar-Rahnu Express oleh Habib Jewels turut mencatatkan aktiviti yang meningkat terutamanya dalam kalangan peniaga kecil yang menggunakan emas sebagai cagaran untuk pembiayaan perniagaan," katanya.
Meer menegaskan, emas bukan sekadar barangan mewah tetapi juga alat kewangan, tradisi budaya dan pelaburan jangka panjang.
-- BERNAMA
