KUALA LUMPUR: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan menerima menghadap legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Pertemuan yang turut disertai Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dikongsikan menerusi platform media sosial Tunku Ismail pada Selasa.

Mengulas hantaran itu, Chong Wei dalam kenyataannya menyifatkan, ia satu penghormatan apabila berpeluang menghadap Tunku Ismail.

“Satu penghormatan diberi peluang menghadap DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor.

“Sentiasa inspirasi apabila berbicara dengan pemimpin yang mempunyai visi besar untuk sukan dan negara. Terima kasih, Tunku,” ujarnya.

Sebelum ini, Tunku Ismail memaklumkan, Chong Wei bakal menggalas peranan sebagai penasihat sukan badminton untuk negeri Johor.

Selain pemenang tiga pingat perak Olimpik itu, beberapa atlet bertaraf dunia turut dinamakan dalam usaha memacu program pembangunan sukan dan belia di Johor.

Antara legenda yang disenaraikan ialah Sonny Bill Williams (ragbi), Khabib Nurmagomedov (bela diri) dan Tim Cahill (bola sepak).