Harga timah di Pasaran Timah Kuala Lumpur (PTKL) dijangka bergerak antara US$20,500 dan US$20,700 setan minggu depan, kata peniaga.

Seorang peniaga berkata harga timah dijangka bergerak pada harga minggu lepas atau mungkin lebih tinggi berikutan data ekonomi dari US, Eropah dan China yang lebih kukuh, yang menunjukkan pemulihan semakin menjadi kenyataan.

"Kami menjangkakan pasaran timah meningkat. Sudah ada unjuran bahawa ia akan meningkat, bagaimanapun ia mungkin sebaliknya memandangkan ia merupakan pasaran yang mudah berubah.

"Ia mungkin mengikuti pasaran emas dan kuprum," katanya.

Pada minggu yang baru berakhir, harga timah di PTKL bergerak antara US$20,300 dan US$20,650 setan dalam pasaran kukuh.

Peniaga itu berkata pasaran lebih kukuh dengan pembeli Eropah mendominasi dagangan, diikuti Jepun dan peniaga tempatan.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 180 tan berbanding 109 tan sebelumnya.

Perbezaan harga PTKL dan LME berkurangan kepada premium US$215 setan berbanding US$520 setan Jumaat sebelumnya.