Perdana Menteri luang masa tinjau bazar Ramadan di Kangar
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim petang ini meluangkan masa berkunjung ke Bazar Ramadan Persiaran Wawasan di sini, bersempena dengan lawatan singkatnya ke Perlis.
Bernama
Mon Apr 01 2024
Anwar tiba di bazar itu pada 6 petang dengan diiringi Mohd Shukri dan Asrul Aimran. - Gambar Bernama
KANGAR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim petang ini meluangkan masa berkunjung ke Bazar Ramadan Persiaran Wawasan di sini, bersempena dengan lawatan singkatnya ke Perlis.
Anwar tiba di bazar itu pada 6 petang dengan diiringi Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pembangunan Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan negeri Asrul Aimran Abd Jalil.
Dalam kunjungannya selama 20 minit itu, Perdana Menteri sempat beramah mesra dengan peniaga dan orang ramai yang mengunjungi bazar yang turut dikenali sebagai Bazar Ramadan Rahmah MADANI yang juga merupakan terbesar dan popular di Kangar.
Terdapat sebanyak 139 peniaga menjual makanan dan minuman di bazar berkenaan dengan 32 daripadanya menjual Menu Rahmah.
Terdahulu, Anwar mempengerusikan taklimat pembangunan negeri di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan disertai Mohd Shukri.
Perdana Menteri dijadualkan menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI peringkat negeri Perlis di Masjid Nurul Huda Felda Chuping, dekat Padang Besar malam ini.
-- BERNAMA
Dapatkan waktu berbuka, imsak, kalkulator zakat, artikel menarik Ramadan di sini