Ringkasan AI
- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima aduan tentang seorang peniaga yang menggunakan tong sampah untuk merendam sotong yang dijualnya.
- KKM mengumumkan bahawa mereka akan melakukan siasatan terhadap praktik peniaga tersebut.
- Peniaga tersebut dalam sebuah video menjelaskan bahawa dia tidak tahu tong yang digunakannya itu adalah tong sampah, dan dia tidak melihat ia satu masalah selagi tong tersebut tidak digunakan untuk menyimpan sampah.
Peniaga lelaki berkenaan tular di aplikasi X apabila menggunakan tong yang biasanya digunakan sebagai tong sampah untuk merendam bahan jualannya itu sehingga mengundang kecaman ramai.
Pemegang akaun @heyizwanizzat turut menyuarakan kebimbangannya dengan penggunaan tong berkenaan.
“Dia (peniaga) guna tong sampah buat rendam sotong untuk masak dan jual. Dah ramai yang tegur tapi jawapannya, sebab ramai yang buat macam tu, tak jadi masalah.
“Agak geram jugalah dengan jawapan dia terutamanya dalam bab penyediaan makanan macam ni. @KKMPutrajaya boleh dah jalankan tugas,” luahnya di X.
Hantaran itu kemudiannya mendapat perhatian daripada KKM.
“Terima kasih kerana membawa perhatian ini kepada kami. KKM akan menjalankan siasatan,” balasnya.
Sementara itu, dalam satu video berasingan yang berdurasi 59 saat, peniaga lelaki berkenaan ada membuat penjelasan.
“Rendam sotong pakai tong sampah eh? Saya pun tak tahu itu tong sampah sebab tak ada tulis kan. Main beli je dekat kedai. Kedai pun tak pesan pula, itu tong sampah.
“Saya pakai je lah sebab ramai yang lain pun pakai juga tong tu isi air untuk mandi. Bagi saya, tak ada masalah kot kalau rasa benda tu kotorlah, tak bersih.
“Tak apa kalau awak anggap macam tu sebab tong tu bukan saya isi sampah,” jelasnya. -Sinar Harian