SHAH ALAM: Penduduk di sekitar Lembah Klang mula menyimpan bekalan air menjelang gangguan bekalan air yang dijadualkan berlaku bermula Rabu hingga Jumaat ini.


Ringkasan AI
  • Penduduk Lembah Klang mula menyimpan air menjelang gangguan bekalan air dari Rabu hingga Jumaat.
  • Gangguan berlaku kerana kerja penambahbaikan di Loji Rawatan Air Fasa 1 Sungai Selangor.
  • Bekalan air dijangka pulih berperingkat mulai jam 3 pagi pada 6 Jun; lori tangki akan dihantar ke kawasan kritikal.


Mereka yang ditemui Sinar Harian terutamanya peniaga memaklumkan pendekatan proaktif perlu diambil agar mempunyai air mencukupi sepanjang tempoh tersebut.

Menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), bekalan air akan tergendala berikutan kerja penambahbaikan aset di Loji Rawatan Air Fasa 1 Sungai Selangor pada Rabu ini.

Proses penyenggaraan dan penggantian aset itu dijangka siap pada jam 7 malam menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Seorang peniaga di Pasar Moden Seksyen 16 Shah Alam, Basirah Omar, 53, berkata, dia akan menyimpan air di rumah agar kedai santan kelapanya dapat beroperasi seperti biasa.

“Jika kehabisan air, kami akan menggunakan air dari rumah di Seksyen 7, Shah Alam. Bekalan air di rumah biasanya tidak terjejas akibat pemotongan air sehingga Jumaat ini.

"Kami akan berulang-alik ke rumah jika kehabisan air di kedai walaupun jarak rumah lebih lima kilometer dari kedai," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Isnin.

Sementara itu, peniaga sate, Ahmad Firzdaus Robert, 36, berkata, dia mengambil pendekatan sama dengan menyimpan air di rumah agar dapat menjalankan perniagaan.

"Kalau tiada air kami tidak boleh berniaga dan perlu simpan air lebih awal kerana bimbang kawasan rumah kami turut terjejas," katanya yang menetap di Ken Rimba di sini.

Seorang lagi penduduk Ken Rimba, Norbayati Taupid Kor Rahman, 29, berkata, dia telah menyimpan air mencukupi untuk tempoh gangguan dan berharap dapat menghadapinya.

"Kami telah menyimpan air dalam bekas untuk memastikan kami mempunyai air yang mencukupi untuk digunakan sekiranya tangki air di rumah kami kering," ujarnya.

Sementara itu, seorang penduduk di U5 Bandar Pinggiran Subang, Mohamad Yusoff, 38, berkata, dia juga menyimpan air mencukupi untuk kegunaan lima ahli keluarganya.

Sementara penduduk di Taman Melawati, Nur Alesha Makmur, 31, pula berkata, dia akan menyimpan air mencukupi untuk keperluan keluarga kerana bimbang bekalan air mengambil masa lebih lama untuk pulih dari jangkaan.

Terdahulu, Air Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan, pengguna dijangka menerima bekalan secara berperingkat bermula pada jam 3 pagi pada 6 Jun selepas sistem agihan utama bekalan distabilkan.

Kata kenyataan itu, lori tangki juga akan digerakkan air ke kawasan-kawasan yang terlibat dengan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Pada Isnin, Pengerusi Jawatankuasa Pemodenan Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pertanian Selangor, Izham Hashim dilaporkan berkata, kerja-kerja menaik taraf dan penyelenggaraan itu perlu memandangkan aset tersebut sudah berusia lebih 30 tahun, dengan beberapa komponen kritikal memerlukan penggantian dan penyelenggaraan.

Ini termasuk dua injap, 1,350mm dan 1,450mm di Loji Rawatan Air Matang Pagar yang telah digunakan sejak 1990-an.

"Menggantikannya adalah penting untuk memastikan Loji Rawatan Air Fasa 1 Sungai Selangor terus berfungsi dengan baik," ujarnya. - Sinar Harian