PUTRAJAYA: Syarikat automotif China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) akan melabur RM30 bilion bagi pembangunan dan pengkomersialan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim, Perak.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, ia susulan lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China, baru-baru ini.

Menurutnya, ia juga bakal membuka lembaran baharu ekosistem penggunaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia

"AHTV itu akan merangkumi rantaian nilai automotif dan mobiliti meluas, merangkumi pusat penyelidikan, pembangunan global berteknologi tinggi, perkhidmatan sokongan dan ekosistem berkaitan untuk industri kenderaan tenaga baharu di Malaysia," katanya pada pada sidang media mengenai hasil lawatan Anwar ke China, di sini pada Khamis.

Selain Geely, Li Kang berkata, dua lagi syarikat pengeluar EV akan datang melawat Malaysia pada Sabtu ini bagi menerokai peluang pelaburan.

Menurutnya, dua syarikat berkenaan tidak termasuk dalam komitmen pelaburan berjumlah RM170 bilion yang dipersetujui Malaysia-China dalam lawatan Perdana Menteri sebelum ini.

"Dua syarikat itu adalah China Harmony Auto Holding Limited dan GAC Aion New Energy Automobile Limited.

"Setakat ini tiada nilai pelaburan kerana kedua-dua syarikat itu datang bagi meneroka peluang perniagaan," katanya lagi.

Selain itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan menerima pelaburan berjumlah RM2.5 bilion dari DC-Sciences Co Ltd, syarikat dari China untuk pembangunan pusat data di Sedenak, Johor

Sebelum ini, Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM170 bilion daripada pelabur China susulan lawatan Perdana Menteri ke China.

Ia hasil daripada 19 memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara syarikat Malaysia dan China.