Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia itu, faktor tersebut juga sekali gus memberi keyakinan kepada pelabur membawa aliran modal masuk ke dalam negara.
“Pada masa sekarang, kita lihat asas itu masih kukuh dan bertambah kukuh lagi.
“Selain itu adalah dari segi prospek pertumbuhan ekonomi yang baik dan positif. Contohnya tahun ini kita jangkakan pertumbuhan ekonomi antara 4 hingga 5 peratus.
“Kita lihat suku pertama tumbuh 4.2 peratus, manakala suku kedua tumbuh 5.9 peratus. Jadi ini merupakan sesuatu yang baik,” ujar beliau dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI pada Khamis.
Turut sama dalam temu bual bertajuk “Strategi fiskal & monetari: Kunci pengukuhan ekonomi Malaysia” itu ialah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Temu bual itu dikendalikan oleh Editor Kanan Astro AWANI, Najib Aroff.
Mengulas lanjut, Abdul Rasheed pada masa sama tidak menafikan kekuatan ringgit pada ketika ini turut disumbangkan oleh faktor luaran.
“Apabila ringgit melemah sebelum ini, ia lebih kepada dasar monetari di negara maju yang dilihat lebih ketat.
“Jadi kadar faedah mereka tinggi, aliran modal bergerak ke arah sana, sekali gus menyebabkan ringgit melemah pada ketika itu.
“Apa yang kita lihat pada masa ini juga adalah sama (seperti sebelum ini) - perkembangan luaran dari segi peralihan dasar monetari dalam kalangan negara maju di mana mereka mula menurunkan kadar faedah mereka sekali gus mendorong aliran modal beralih kepada negara membangun,” katanya.
Sementara itu, Amir Hamzah berkata, kestabilan politik negara turut mendorong kepada pengukuhan ringgit ketika ini.
Ujar beliau, faktor itu telah meningkatkan keyakinan pelabur asing bahawa setiap pelaburan mereka berpotensi untuk berjaya.
“Kalau kita ada banyak pergolakan politik, ia akan menggugat kestabilan ekonomi juga.
“Kalau kita tengok kepada pengukuhan ringgit, ringgit bukan sahaja dari segi dolar Amerika, tetapi ringgit makin mengukuh kalau kita bandingkan dengan mata wang serantau lain , kita lebih baik daripada baht Thailand, dolar Singapura dan rupiah Indonesia.
“Ini menunjukkan walaupun trend dari segi negara maju dan negara kurang maju jelas nampak, namun ringgit telah dapat kenaikan lebih kerana dasar-dasar ekonomi negara telah melonjakkan Malaysia berbanding negara-negara serantau lain,” ujarnya.
Justeru, ujar beliau, lebih banyak usaha menguatkan ekonomi melalui Kerangka Ekonomi MADANI secara tidak langsung akan terus mengekalkan kekuatan ringgit.