Beliau berkata antara perkara penting dalam usaha itu adalah kepelbagaian ekonomi Malaysia.
"Satu elemen penting (dalam proses itu) adalah kepelbagaian ekonomi kami, yang menyediakan pelindung untuk membantu kami menyerap sebarang cabaran yang timbul," katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual dengan CNBC News Channel di mesyuarat tahunan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) di Washington, D.C., baru-baru ini.
Abdul Rasheed ditanya mengenai kesan pilihan raya Presiden AS terhadap pertumbuhan masa depan Malaysia.
Beliau berkata pilihan raya Presiden AS adalah antara perkara yang diikuti rapat oleh BNM namun pada masa ini, situasinya sangat boleh berubah.
"Sudah tentu, apabila meneliti perkara yang Donald Trump telah katakan mengenai tiga perkara utama -- tarif, imigresen dan pengurangan cukai -- dasar ini secara asasnya adalah inflasi. Jika dilaksanakan, ia boleh memberikan kesan negatif terhadap pertumbuhan dan ini boleh menjadi inflasi.
"Situasi yang kita lihat pada masa ini (mengenai pilihan raya Presiden AS) adalah hanya retorik, dan ini bergantung kepada perkara yang akhirnya diterjemahkan menjadi satu bentuk dasar. Contohnya, pada 2016, terdapat banyak retorik kempen, tetapi tidak semuanya dibawa untuk penggubalan dasar dan pelaksanaan," katanya.
Beliau berkata tiga perkara utama itu mungkin mempunyai kesan seandainya dilaksanakan, bukan sahaja ke atas Malaysia sebagai ekonomi yang kecil dan terbuka malah juga terhadap pertumbuhan global secara keseluruhan.
Mengenai pakej rangsangan ekonomi China, Abdul Rasheed berkata walaupun Malaysia positif dengan pengumuman itu, butiran pakej tersebut masih belum diumumkan.
"Saya mengharapkan agar dengan pakej rangsangan tersebut, republik itu boleh mencapai kadar pertumbuhan sekitar 5.0 peratus. Jika kita teliti Tinjauan Ekonomi Dunia baru-baru ini, kadar itu telah diturunkan kepada 4.8 peratus.
"Jadi, saya percaya pakej rangsangan ini boleh membantu membawa negara itu kembali (mencapai kadar pertumbuhan) kepada 5.0 peratus, namun kami mengikut rapat mengenai butiran pengumuman China," katanya.
Abdul Rasheed turut menekankan satu lagi perkara iaitu kepentingan kepelbagaian, dan Malaysia mempunyai kepelbagaian yang agak menarik.
Eksport Malaysia ke China membentuk kira-kira 14 peratus, eksport ke AS membentuk 12 peratus, dan 27 peratus bagi ekonomi ASEAN, katanya.
"Ini menunjukkan kami cukup pelbagai dan tidak terlalu bergantung kepada mana-mana ekonomi atau negara," katanya.
Sementara itu, gabenor berkata Malaysia bersepadu dengan baik ke dalam rantaian bekalan global, membawa kepada banyak peluang bagi rantau ini, khususnya untuk Malaysia.
Beliau menjelaskan usaha itu sebahagiannya didorong oleh nyahglobalisasi, yang telah menyusun semula rantaian bekalan global, mendorong Malaysia memberikan lebih tumpuan kepada kawasan yang menawarkan kelebihan bandingan.
“Bagi Malaysia, elektrik dan elektronik (EE) adalah antara kekuatan utama kami. Kami sedang meneroka peluang baharu dalam sektor EE, terutama dalam aktiviti bernilai tambah tinggi seperti kecerdasan buatan dan pembungkusan termaju, dan lain-lain.
"Ini akan mewujudkan pekerjaan nilai tinggi dan mengalakkan hubungan ekonomi domestik yang kukuh," katanya.
Ketika ditanya mengenai prospek kadar faedah Malaysia, Gabenor BNM itu berkata penetapan kadar faedah oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan bergantung kepada data dan tinjauan terhadap keseimbangan risiko, inflasi dan pertumbuhan ketika mesyuarat MPC.
MPC akan bergantung kepada data yang dikumpulan oleh BNM, dan pihak MPC akan menilai secara berkala semasa mesyuarat untuk menentukan kadar yang sesuai, katanya.
Beliau berkata sejak kali terakhir MPC menaikkan kadar dasar kepada 3.0 peratus, kadar itu kekal menyokong pertumbuhan pada masa ini dan dianggap sesuai.
"Tinjauan agak mencabar untuk dibuat kerana bergantung kepada dinamik ekonomi global dan perkembangan domestik yang boleh memberikan kesan kepada unjuran inflasi dan pertumbuhan kami pada masa hadapan," katanya.
Mengulas mengenai pengurangan dan kenaikan kadar 50 mata asas oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) baru-baru ini, beliau berkata bahawa langkah itu sudah tentu memberikan kesan susulan ke atas ekonomi Malaysia.
Abdul Rasheed berkata jika meneliti prestasi ringgit dalam tempoh dua tahun lepas, mata wang domestik telah susut nilai yang agak melampau terutama disebabkan perbezaan kadar faedah antara Malaysia dan kalangan ekonomi maju, khususnya Fed (AS).
"Kadar dasar kami pada 3.0 peratus, manakala kadar Fed pada 5.5 peratus. Penurunan 50 mata asas (Fed) baru-baru ini adalah satu perkembangan positif bagi kami, kerana dapat mengurangkan perbezaan kadar faedah antara AS dan Malaysia.
"Ini telah memberikan manfaat kepada Malaysia. Bagaimanapun, terdapat pembetulan baru-baru ini berikutan petunjuk ekonomi positif dari AS, khususnya berkaitan daya tahan pasaran buruh, yang telah mewujudkan ketidaktentuan mengenai langkah Fed seterusnya," katanya.
-- BERNAMA