KUALA LUMPUR: Kadar dasar semalaman (OPR) yang ditetapkan pada tiga peratus ketika ini dilihat menyokong pertumbuhan ekonomi negara, kata Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) itu berkata, walaupun Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) memutuskan untuk memotong kadar faedahnya, namun Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) masih menjadikan asas ekonomi Malaysia sebagai penentu kepada sebarang perubahan yang akan dilakukan.

“Pertama, apakah prospek inflasi kita dan juga apakah prospek pertumbuhan kita. Kita melihat kepada unjuran keseimbangan risiko berkait inflasi dan pertumbuhan masa depan negara.

“Kami melihat pespektif jangka masa panjang. Dasar monetari kita perlu sesuai kepada dasar dan keadaan domestik kita dan bukan apa yang berlaku di luar negara.

“Jadi walaupun The Fed menaikkan atau menurunkan kadar faedah, ia tidak memberi sebarang pengaruh kepada kita (MPC) untuk menetapkan sebarang perubahan di Malaysia,” ujar beliau dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI pada Khamis.

Turut sama dalam temu bual bertajuk “Strategi fiskal & monetari: Kunci pengukuhan ekonomi Malaysia” itu ialah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan dikendalikan oleh Editor Kanan Astro AWANI, Najib Aroff.

Menurut Abdul Rasheed lagi, apabila MPC bersidang, data-data domestik akan menjadi tumpuan termasuk melihat kepada unjuran pertumbuhan ekonomi dan inflasi negara dalam tempoh empat hingga lapan sukuan.

Jelasnya, MPC akan menilai paras OPR yang sesuai untuk memastikan kestabilan harga dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.